Capai 30,055 dos vaksin, Pulau Pinang ke arah Fasa 3 PPN

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN - Pulau Pinang ke arah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila kadar suntikan vaksin Covid-19 harian mencapai 30,055 dos seperti yang direkodkan pada Khamis.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dengan jumlah suntikan tersebut, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melaporkan Pulau Pinang kini berada pada kedudukan keenam berbanding negeri lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga Khamis, pecahan menunjukkan bahawa Pulau Pinang menyempurnakan 571,164 dos suntikan pertama dengan kadar 32.2 peratus berbanding jumlah populasi dan 41.8 peratus bagi kadar populasi dewasa manakala bagi suntikan dos kedua membabitkan seramai 240,038 individu iaitu 13.5 peratus dan 17.6 peratus bagi kadar populasi dewasa.

"Ia adalah satu pencapaian terbaik untuk membolehkan imuniti kelompok diperoleh pada masa ditetapkan.

Iklan

"Sehingga 21 Julai lalu, bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 3, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan seramai 207,607 rakyat Pulau Pinang telah menerima dos suntikan vaksin pertama dan kedua (27,229).

"Usaha ini giat diteruskan bagi memastikan Pulau Pinang berjaya memasuki Fasa 3 PPN dan seterusnya mencapai imuniti kelompok," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, sehingga Jumaat, sebanyak 12 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam (termasuk empat buah hospital kerajaan) beroperasi di negeri ini.

"Selain itu, kita juga ada PPV integrasi (2); PPV mega (1); PPV institusi pengajian tinggi (2); PPV hospital swasta (10) dan PPV pengamal perubatan am (58) yang dikhaskan untuk orang awam dengan kapasiti dos suntikan maksimum 20,830 dos sehari.

"Pada 26 Julai nanti, sebuah PPV pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dibuka di Juru, Seberang Perai Tengah (SPT) dengan kapasiti 1,000 suntikan sehari," katanya.

Beliau berkata, sebanyak sembilan PPV di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) turut beroperasi pada waktu ini dengan jumlah kapasiti 10,200 dos sehari.

"Ini membuktikan bahawa selain sektor industri, kerajaan negeri juga memberi keutamaan kepada pengoperasian PPV awam bagi vaksinasi rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh," katanya.