20 pesawah rugi, sistem pengairan tidak memuaskan

Iklan
Mazli (kanan) menunjukkan tali air yang dijadikan takungan air untuk mengairi sawah-sawah yang berada di luar kawasan MADA di Padang Nyior, Kuala Nerang.

KUALA NERANG - Lebih 20 pesawah di Padang Nyior, dekat sini mengeluh apabila kira-kira 50 hektar sawah yang diusahakan terjejas disebabkan kekurangan bekalan air berikutan sistem pengairan yang kurang memuaskan.

Petani, Mazli Isa, 56, berkata, mereka hanya bergantung kepada sebuah parit sepanjang 600 meter yang sudah wujud sejak sekian lama bagi menakung air hujan untuk disalurkan ke dalam sawah.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, parit tersebut tidak dapat berfungsi secara efisien kerana ketiadaan kunci air untuk menyimpan air terutamanya menjelang musim kemarau.

"Kami merupakan pesawah di kawasan luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), jadi kami bergantung sepenuhnya kepada air hujan. Parit yang sedia ada ini sudah wujud sekian lama untuk menakung air.

Iklan

"Namun apabila musim kemarau, parit ini tidak dapat menakung air seperti diharapkan kerana ia akan mengalir ke Sungai Sari berdekatan dan akhirnya pesawah terpaksa tanggung kerugian selepas hasil padi tidak menjadi," katanya ketika ditemui pemberita, dekat sini baru-baru ini.

Mazli yang sudah 25 tahun mengusahakan kira-kira lima hektar sawah miliknya berharap masalah yang dihadapi itu akan mendapat perhatian pihak berwajib.

Iklan

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Abd Malik Mat Ali, 54, berkata, kekurangan air menyebabkan proses tanaman padi terbantut selain sukar untuk menabur baja.

Menurutnya, setiap kali musim kemarau, pesawah yang berada di luar kawasan MADA itu akan mengeluh disebabkan oleh bekalan air yang berada di dalam parit tersebut tidak mencukupi.

"Jika air sawah kering, kami tidak dapat menabur benih dan terpaksa menunggu air hujan. Sekiranya air tidak mencukupi, pesawah terpaksa keluarkan modal beberapa kali untuk menabur baja ke dalam petak sawah masing-masing.

"Walaupun pokok padi dapat tumbuh namun tidak semuanya berisi. Boleh dikatakan hampir setiap kali musim kemarau kami akan menanggung kerugian beribu ringgit kerana pokok padi terencat disebabkan kurang bekalan air," ujarnya.

Abd Malik berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pernah membantu para pesawah di kawasan tersebut dengan mendalamkan parit berkenaan namun ia tetap tidak dapat berfungsi untuk menakung air.

"Kami merayu agar kerajaan dapat membantu pesawah di kawasan ini dalam membina kunci air untuk jangka masa panjang terutamanya menyimpan air hujan untuk kegunaan pada musim kemarau," katanya lagi

Sementara itu, Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti masalah yang dihadapi oleh pesawah yang berada di luar kawasan MADA tersebut.