KOTA BHARU - Seorang lelaki di bawah sekatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 (Akta 297) ditahan bersama 8.4 kilogram dadah jenis pil kuda bernilai RM1.08 juta dalam serbuan di persimpangan lampu isyarat Petronas Rantau Panjang.
Penjaga pakir kereta pengkalan haram berusia 33 tahun itu ditahan pada jam 8.30 malam oleh pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Rantau Panjang yang bertindak menahan kereta jenis Honda City dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Aksem Rantau Panjang menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit sebelum menjumpai satu beg galas berwarna hitam di lantai tempat duduk penumpang.
"Pemeriksaan lanjut di dalam beg galas itu mengandungi 12 bungkusan yang berbalut pita pelekat berwarna kekuningan. Setiap satu bungkusan terdapat pula tiga bungkusan plastik cerah yang mengandungi 10 paket plastik biru berisi pil-pil kemerahan dan kehijauan dipercayai dadah jenis pil kuda.
"Keseluruhan pil itu berjumlah 72,000 biji dengan anggaran berat 8.4kg, manakala harga semasa pula dianggarkan bernilai RM1.08 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.