Sembunyi wang pelanggan RM500, lelaki didenda RM2,000

Iklan
Seorang lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat atas kesalahan menyembunyikan wang RM500 milik seorang wanita, empat tahun lalu.

PETALING JAYA - Seorang lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas kesalahan menyembunyikan wang RM500 milik seorang wanita, empat tahun lalu.

Mohd Nasrullah Alias, 32, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret M Barath.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didapati dengan curangnya membantu menyembunyikan wang milik Hamizah Shaharudin, 35, (pengadu) sebanyak RM500 yang dimasukkan ke akaun CIMB bank milik tertuduh, yang mana diketahui bukan miliknya.

Iklan

Kesalahan dilakukan di Taman Medan, di sini pada 26 Ogos 2017 dan dia boleh dihukum di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika pengadu melayari laman beli belah dalam talian, dia melihat iklan sebuah produk berharga RM600.

Iklan

Pengadu menghantar kiriman WhatsApp kepada nombor tertera lalu bersembang dengan Cik Scha dan dia ditawarkan RM500 bagi produk tersebut.

Pengadu memasukkan wang berkenaan ke nombor akaun bank milik tertuduh namun setiap kali meminta nombor pengesahan pos, Cik Scha memberi pelbagai alasan dan akhirnya dia gagal untuk dihubungi.

Pada Rabu, tertuduh akhirnya ditangkap oleh pasukan risikan operasi Petaling Jaya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatan tersebut.

"Saya merupakan penanggung tunggal dan saya perlu menyara anak serta isteri," katanya.