SHAH ALAM - Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju untuk menjemput parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH), Warisan Sabah (Warisan) dan Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta wakil dari kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai ahli anggotanya.
Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia selaras dengan pendekatan PPN yang berlandaskan prinsip kolaboratif, inklusif dan ‘whole-of-nation’.
"MPN juga mengalu-alukan kesediaan dan penglibatan pakar-pakar dari pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pakar-pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang telah bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mesyuarat pertama MPN itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa menteri lain.
Antaranya, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata, keanggotaan wakil-wakil parti pembangkang, tokoh dan pakar dari pelbagai sektor berkenaan akan memantapkan lagi keahlian MPN serta pelaksanaan PPN yang bersifat dinamik.
"Justeru, MPN berharap kepelbagaian pendapat dan kepakaran ini dapat menyumbang kepada pemerkasaan sektor kesihatan, peningkatan usaha vaksinasi serta penyelarasan, pelaksanaan dan keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) selain sokongan dan bantuan kerajaan dalam tempoh pemulihan,” katanya.