PADANG BESAR - Taktik penyeludup menutup 31 guni mengandungi daun ketum dengan timbunan daun-daun di kawasan semak berhampiran laluan tikus ke kawasan sempadan berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam dua kejadian berasingan pada Khamis.
Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Briged Utara, Superintendan Azhar Hashim berkata, penyamaran itu berjaya dibongkar anggota PGA yang membuat rondaan berdekatan kawasan pagar keselamatan dan menemui keseluruhan 930 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM27,900.
Menurutnya, modus operandi aktiviti penyeludupan itu adalah dengan menyorokkan guni-guni di bawah daun bagi mengelak dikesan pasukan PGA sebelum ia diseludup ke negara Thailand melalui pagar keselamatan.
"Dalam kejadian pertama sekitar 11.45 pagi, anggota PGA menemui 14 guni putih mengandungi daun ketum seberat 420 kg di kawasan kebun getah Felcra Lebuh Sireh.
Pada 6 petang pula, sebanyak 17 guni putih mengandungi 510 kg daun ketum dirampas di kawasan kebun Chuping,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Jumaat.
Azhar berkata, penyeludup menggunakan taktik itu untuk mengaburi mata pihak keselamatan dan sekiranya anggota gagal mengesan aktiviti tersebut, guni berkenaan akan dipikul dengan seberapa pantas ke pagar sempadan.
"Kedua-dua kejayaan itu adalah pada hari sama, dan kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Menurutnya, individu yang disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan berkaitan, Azhar berkata, sepanjang tempoh penugasan pihaknya berjaya merekodkan 17 kes rampasan daun ketum membabitkan 4,240 kg dengan nilai rampasan RM122,700.
"Kami akan teruskan kawalan ketat bagi menjaga sempadan Malaysia-Thailand supaya tiada aktiviti penyeludupan haram berlaku selain tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya.
Azhar turut meminta orang ramai tampil memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan dengan menghubungi 05-4343701 (Cawangan Risik dan Gerakan).
"Sebarang maklumat lengkap yang disalurkan amatlah dihargai dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.