Haji musim pandemik tahun kedua berjaya

Iklan
Jemaah haji melakukan tawaf selamat tinggal di Masjidil Haram sebelum meninggalkan Makkah pada Khamis. - Foto: AFP

MAKKAH - Arab Saudi mengumumkan kejayaan pengurusan ibadah haji musim pandemik untuk tahun kedua.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan tiada kes jangkitan Covid-19 melibatkan para jemaah haji atau penyakit berjangkit lain dilaporkan dalam kalangan mereka.

Iklan
Iklan

Menteri Kesihatan, Dr Tawfiq al-Rabiah berkata, pelan kesihatan untuk haji 2021 berjaya untuk tempoh dua tahun berturut-turut.

"Tiada kes jemaah positif wabak itu. Protokol kesihatan ketat termasuk langkah pembersihan dan sanitasi yang dilaksanakan sepanjang masa berjaya mengekang penularan Covid-19.

Iklan

"Keputusan pemerintah mengehadkan jumlah jemaah kepada 60,000 orang yang hanya memberi kebenaran kepada warga tempatan dan ekspatriat sudah menerima suntikan penuh juga menyumbang kepada kejayaan ini,” jelasnya.

Bagi mengelakkan kontak dengan manusia, pihak berkuasa turut menggunakan pelbagai teknologi termasuk robot pintar yang mengedarkan botol air zam-zam kepada para jemaah haji.

Iklan

"Botol air zam-zam lebih sesuai kerana jumlah jemaah tidak terlalu ramai dan tidak perlu beratur seperti biasa,” kata jemaah warga Pakistan-Amerika dikenali sebagai Aneela, 37.

Pada Isnin, pemerintah Saudi, Raja Salman berkata, usaha kerajaan untuk mengekang impak Covid-19 nyata membuahkan hasil walaupun negara itu telah merekodkan lebih 510,000 kes jangkitan dan lebih 8,000 kematian akibat wabak tersebut.

"Langkah pencegahan ketat dilaksanakan Riyadh membolehkan para jemaah menunaikan haji pada kali ini,” kata baginda.

Bermula Khamis, kebanyakan jemaah yang selesai menunaikan Rukun Islam Kelima itu mula meninggalkan kota suci Makkah secara berperingkat selepas melaksanakan tawaf al-Wida (tawaf selamat tinggal). - Agensi