SABAH FC yakin mampu membawa pulang tiga mata penuh dalam saingan Liga Super menentang PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam esok (Sabtu), berikutan prestasi semasa pemain yang berada di tahap terbaik.
Ketua Jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, semua pemain kini berada pada tahap kecergasan 100 peratus dan faktor itu sudah tentu bakal menjadi penyumbang utama bagi misi mencapai kemenangan esok.
Iklan
Iklan
"Tempoh rehat panjang hampir dua bulan dimanfaatkan sepenuhnya skuad Sang Badak dengan latihan dan perlawanan persahabatan untuk mencapai sasaran kemenangan esok bagi memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super 2021.
"Saya melihat semua pemain sangat bersemangat dan dahagakan kemenangan untuk perlawanan malam esok dan saya mengharapkan semua yang dirancang mampu dilakukan sebaik mungkin oleh para pemain," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sabah FC kini di tangga ketujuh dalam carta Liga Super dan sebelum ini skuad The Rhinos itu tewas 0-1 kepada PJ City FC dalam pusingan pertama Liga Super pada 13 Mac lalu di Stadium Likas di sini. - Bernama