#RasuahBusters gesa kerajaan tumpu 3 isu utama rakyat, Covid-19, rasuah, ekonomi

Iklan
Pasukan #RasuahBusters menegaskan bahawa ini juga adalah peluang terbaik untuk ke semua barisan pucuk pimpinan di negara ini untuk fokus dalam mencari solusi yang tuntas kepada tiga isu teras yang perlu diletakkan sebagai keutamaan rakyat iaitu Covid-19, Rasuah dan Ekonomi.

SETELAH beberapa bulan kita berada di bawah perintah darurat, 26 Julai 2021 ini, negara akan menyaksikan Parlimen akan dibuka semula. Kesempatan ini begitu ditunggu oleh rakyat agar pelbagai perkara dapat dibincangkan dengan lebih terbuka dan efisien.

Pasukan #RasuahBusters menegaskan bahawa ini juga adalah peluang terbaik untuk ke semua barisan pucuk pimpinan di negara ini untuk fokus dalam mencari solusi yang tuntas kepada tiga isu teras yang perlu diletakkan sebagai keutamaan rakyat iaitu Covid-19, Rasuah dan Ekonomi.

Iklan
Iklan

MENGURUS KESTABILAN

Kestabilan rantaian kehidupan dan ekosistem melalui pengurusan Covid-19, Rasuah dan Ekonomi perlu mendahului senarai keutamaan dalam apa juga topik perbahasan. Sama ada pihak kerajaan mahu pun pembangkang, sewajarnya mengenepikan sebarang bentuk pertelagahan tentang kekuasaan, politik, pilihan raya atau apa saja isu lain yang boleh menggugat fokus terhadap kepentingan rakyat Malaysia.

Iklan

Protokol pengurusan wabak Covid-19 memerlukan libat urus semua pihak agar isu kritikal ini diselia dan diperluas dengan lebih berkesan untuk meraih sokongan pelbagai peringkat masyarakat. Lanskap ekonomi akibat Covid-19 yang berubah selari norma baru juga belum dapat menjanjikan sebarang kepastian atau harapan untuk ekonomi dapat dibangunkan semula dalam jangka masa terdekat.

Untuk itu, ruang kelegaan melalui bantuan yang diberikan wajar disusuli dengan pelan dan garis panduan yang mapan dan lestari yang diperincikan untuk rakyat bergerak bersama ke arah pemulihan ekonomi yang munasabah.

Iklan

Kestabilan rantaian kehidupan dan ekosistem melalui pengurusan Covid-19, Rasuah dan Ekonomi perlu mendahului senarai keutamaan dalam apa juga topik perbahasan.

RASUAH ADALAH AGENDA

Selain dua isu utama tersebut, para pemimpin perlu sedar bahawa rasuah, atau bentuk-bentuk penyelewengan kuasa adalah virus dan penyakit moral yang boleh meruntuhkan apa saja sistem pemulihan yang sedang dibina.

Evolusi rasuah akibat terjejasnya ekonomi dan struktur sosial berpotensi untuk tumbuh di segenap peringkat jika tidak dihalang. Langkah mengupaya transformasi nilai yang serius perlu diambil kerana pengabaian terhadap budaya rasuah yang dibiar berleluasa akan memusnah dan mensia-siakan segala bentuk usaha semua pihak.

Prosedur akauntibiliti, pelaporan yang tulus dan telus perlu disemak dengan undang-undang yang dipertegas dalam menghidupkan sebuah negara yang berintegriti terutama ketika proses pemulihan negara sedang berlangsung. Jika isu rasuah ini gagal menjadi keutamaan, kita harus sedia menyaksikan nyawa dan kehidupan rakyat semakin terancam dan masa depan negara yang semakin tenggelam.

KUASA ADALAH AMANAH

#RasuahBusters percaya bahawa usaha yang terfokus pada waktu ini akan menatijahkan impak yang bermakna. Maka, sebagai tampuk yang memegang amanah, wakil-wakil rakyat harus sedar bahawa perkara yang paling penting pada saat ini adalah membebaskan sebarang ancaman terhadap nyawa rakyat, dari sudut kesihatan dan dalam masa yang sama terpaksa berdepan dengan tekanan jiwa dan ekonomi yang begitu menghimpit.

Menjayakan semuanya ini, memerlukan komitmen yang padu, tegas dan jelas. #RasuahBusters meletakkan harapan yang tinggi agar barisan kepimpinan negara menjadikan Parlimen yang akan dibuka semula sebagai sebuah medan diskusi yang matang dan berorientasikan solusi dengan mendukung tiga teras utama tersebut, mendahulukan kepentingan rakyat, mengatasi kepentingan peribadi demi sebuah transformasi #NilaiMoralKarakterBangsa ke arah kestabilan negara Malaysia.

Dengan kemajuan teknologi, amat mudah untuk rakyat memerhati. Jadikanlah persidangan Parlimen kali ini sebaik-baik masa untuk melunaskan tanggungjawab dan amanah yang dijanji.

HUSSAMUDDIN YAACUB, KETUA PASUKAN #RASUAHBUSTERS

SHAH ALAM, 24 JULAI 2021