Tukar kepada hamba rakyat

Iklan

BETUL katanya Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika diwawancara bersama The Sydney Morning Herald dan The Age.

Katanya, beliau mengaku yang rakyat sudah kurang percaya dengan Perintah Kawalan pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

Ini katanya, disebabkan adanya menteri yang melanggar prosedur operasi standard (SOP). Pelanggaran ini katanya merosakkan kredibiliti PKP penuh itu sendiri.

Saya bersetuju juga dengan kata-kata beliau. Bukan sahaja rosaknya kredibiliti PKP tetapi merosakkan kepercayaan rakyat kepada menteri itu sendiri. Rakyat mungkin sudah hilang sabar dan tangkap muak dengan menteri. Kita boleh sahaja membacanya di hantaran media sosial.

Iklan

Ada sahaja terpapar berita tentang tidak mematuhi SOP, membuat kenyataan mendahului akal, dan ada juga yang ajuk-ajuk untuk mempersendakan rakyat jelata yang susah kononnya untuk menunjukkan simpati dan ini menyebabkan rakyat jelata semakin marah.

Orang politik memang banyak akal. Mereka ini ada agenda. Dan mereka ini juga mungkin pembaca buku Machiavelli yang tahu selok belok untuk kekal berkuasa dan mempengaruhi rakyat jelata supaya kekal menyokong mereka. Mereka tidak akan merasa bersalah pun.

Iklan

Mereka tahu, apa yang perlu mereka buat hanya memohon maaf dan membuat kenyataan berikrar tidak akan melakukannya lagi. Apabila didenda, tidak ada masalah bagi mereka untuk membayarnya. Setakat denda RM2000, boleh sahaja dibayar bila-bila masa.

Kemudian, untuk kembali mengambil hati rakyat, mereka akan membuat pengumuman itu dan ini, hendak beri itu dan ini untuk meyakinkan rakyat jelata. Kononnya lagi yang mereka ini, telah insaf dan berharap rakyat bersimpati.

Maka rakyat jelata yang telah sedia susah, apabila diberi bantuan itu dan ini, diiringi dengan kata-kata manis, dijanjikan bulan dan bintang, maka terpesonalah mereka. Maka dengan mudahnya akan lupalah segala kesalahan yang telah dilakukan oleh wakil-wakil rakyat ini.

"Mereka dah minta maaf tu, dah kena denda pun, eloklah kita maafkan mereka,” kata kawan saya.

"Ha, mereka pun sanggup korbankan gaji tiga bulan untuk bantu rakyat,”kata seorang lagi kawan saya. Saya pun tidak tahu entah apa ceritanya cadangan untuk memotong gaji menteri-menteri ini. Sudah habis tempoh potongan agaknya.

Seperti kawan-kawan saya, maka rakyat jelata juga akan memuji akan wakil rakyat ini bagus, prihatin dan baik hati. Wakil-wakil rakyat pula akan uar-uarkan akan bantuan mereka kepada rakyat. Rakyat jelata pula akan bercerita hebatnya wakil rakyat dan menteri ini yang tidak lupakan mereka. Bak kata Tun Dr Mahathir Mohamad, Melayu mudah lupa.

Wakil rakyat yang juga menteri ini memang licik dan penuh dengan strategi. Mereka boleh sahaja berbohong tidak melakukan sesuatu perkara kepada rakyat, walaupun terang-terang telah terbukti. Dan apabila terbongkar benar, sekali lagi mereka mengaku pula tanpa rasa bersalah.

Rakyat jelata akan marah dengan mereka ini, tetapi mereka tahu yang rakyat mudah lupa. Rakyat akan lupa apabila mereka mengungkit akan jasa-jasa mereka dan memberi janji kononnya akan tetap membela nasib rakyat jelata.

Mereka tahu rakyat akan lemah sendi lututnya, apabila berasa terhutang budi dengan diberi bantuan itu dan ini. Hati rakyat jelata yang sedang menggelegak pun boleh sahaja disejukkan persis ais kacang apabila tiba masanya. Sedangkan memang itu tugas mereka yang sepatutnya bukan untuk diungkit tetapi, adalah tanggungjawab.

Justeru, saya mencadangkan selepas ini, kita tidak lagi menggunakan gelaran wakil rakyat kepada mereka. Elok sahaja mereka yang dipilih sebagai wakil rakyat dipanggil sahaja dengan gelaran hamba rakyat.

Apabila berlangsung majlis-majlis rasmi bersama rakyat jelata elok dicetak pada gegantung ‘Majlis Penyerahan Wang Ihsan Oleh Yang Berkhidmat Hamba Rakyat Dato’...’, contohnya. Dengan adanya gelaran ‘Hamba Rakyat’, maka mereka ini akan sedar diri, insaf dan tidak mengungkit-ngungkit lagi. Mereka akan sedar akan diri mereka ini dipilih rakyat dan bekerja untuk rakyat.

Kepada wakil rakyat dan menteri, eloklah sentiasa bermuhasabah diri. Moleknya jika sentiasa berfikir tentang kuasa yang diamanahkan berat tanggungjawabnya. Jangan digunakan sewenang-wenangnya untuk memanipulasi rakyat jelata hanya kerana tamakkan kuasa.

Kalau tidak, apabila tibanya pilihan raya seterusnya nanti, seperti katanya pepatah Melayu lama, rakyat jelata tidak akan teragak-agak untuk tidak akan lagi memberi barang kepada tangan kera.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com