DENGAN angka keseluruhan Covid-19 di negara ini setakat Jumaat adalah sebanyak 980,491 kes, Malaysia kini dijangka mencapai rekod satu juta kes hanya dalam dua hari lagi.
Jangkaan itu berdasarkan jumlah kes harian negara yang sejak lebih seminggu lalu melebihi angka 10,000 sehari. Malah lebih membimbangkan jumlah kes pada Jumaat (23 Julai) adalah tertinggi dalam tempoh lebih setahun ini dengan 15,573 kes.
Dengan rekod satu juta kes itu nanti, Malaysia bakal menyertai negara-negara seperti Filipina, Kanada, Belgium, Bangladesh dan Pakistan yang mencatatkan angka lebih satu juta kes positif Covid-19 setakat ini.
Malah, angka 1 juta itu juga bakal meletakkan Malaysia di kedudukan ke-31, negara yang mencatatkan paling banyak kes Covid-19 di dunia. Kedudukan nombor satu dan dua di peringkat global masih didahului Amerika Syarikat dengan 34 juta kes serta India 31 juta kes.
Ironinya, kedudukan ke-31 tersebut merupakan peningkatan yang agak besar memandangkan pada penghujung tahun lalu, selepas berjaya melandaikan graf Covid-19 pada bulan Jun dan Julai, Malaysia berada di ranking ke-65 paling tinggi kes positif.
Bahkan, dengan angka 1 juta itu juga menyaksikan, kes Covid-19 di Malaysia dalam tempoh tujuh bulan tahun 2021 ini sahaja bertambah lebih 860,000 kes atau hampir lapan kali ganda berbanding sepanjang tahun lalu.
Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, pada 31 Disember 2020, jumlah kes positif Covid-19 dari Januari hingga Disember tahun lalu hanya sekitar 113,010 kes.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Marzuki Isahak mengakui, dengan jumlah kes harian melebihi 10,000 sehari, Malaysia dijangka menyertai kelompok negara satu juta kes Covid-19 dalam beberapa hari saja lagi.
"Berdasarkan nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) 1.09 di Malaysia sekarang, tidak mustahil jumlah kes kumulatif akan meningkat melepasi angka satu juta dalam masa tiga hingga tujuh hari lagi," ujar Marzuki kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Namun katanya, sekiranya kadar kebolehjangkitan meningkat kepada 1.2, susulan prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi dengan baik maka jumlah kes boleh meningkat kepada 15,000 hingga 20,000 kes sehari sekali gus menjadikan angka satu juta lebih cepat tercapai.
Jelas Marzuki, terdapat beberapa faktor yang boleh mendorong peningkatan jumlah kes Covid-19 secara mendadak antaranya kemunculan kluster besar seperti yang pernah terjadi susulan pilihan raya negeri di Sabah diikuti kluster tempat kerja dan juga kluster keagamaan.
"Kemunculan kluster seumpama ini menyebabkan tekanan kepada sistem kesihatan awam untuk melakukan pengesanan kontak dengan berkesan dan menjalankan ujian swab secara bersasar.
"Namun, terdapat kes-kes yang tercicir dan menyebabkan kemunculan kes-kes sporadik yang tidak dapat dikenalpasti punca jangkitan. Apabila jangkitan berleluasa bermakna jangkitan dalam komuniti telah meningkat," katanya lagi.
Tambah beliau, kemunculan varian baharu seperti varian Delta berasal dari India yang lebih ganas dan mudah tersebar serta kegagalan segelintir pihak tidak bertanggungjawab mematuhi sepenuhnya SOP turut menjadi faktor kes meningkat dengan cepat.
Ditanya sama ada perlu ada perubahan signifikan berhubung cara menangani Covid-19 sekiranya negara mencecah angka satu juta kes kelak, Marzuki berkata, seramai mungkin rakyat perlu divaksin dengan kadar segera bagi mencapai imuniti kelompok.
"Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencapai matlamat tersebut. Seterusnya, sistem kesihatan awam perlu dimantapkan dengan melaksanakan automasi bagi pemantauan pesakit kategori rendah," ujarnya.
Tambahnya, kerjasama antara sistem perubatan kerajaan dan swasta perlu diperkasa bukan sahaja untuk menangani kes pesakit Covid-19 tetapi juga untuk merawat pesakit bukan Covid-19.
"Namun yang pasti, peningkatan jumlah kes Covid-19 akan menjejaskan sistem kesihatan awam terutamanya kes dalam kategori 3, 4 dan 5 yang akan meningkatkan beban hospital.
"Kita juga perlu melihat statistik kematian. Ini memberi gambaran jumlah pesakit yang kritikal dan tahap keupayaan hospital untuk memberi rawatan yang optimum," jelasnya.
Justeru, kesedaran kuarantin kendiri turut perlu ditekankan kepada rakyat agar setiap daripada mereka faham tahap risiko masing-masing dan atas dasar kesedaran sosial untuk tidak menyebarkan virus tersebut sekiranya berisiko.
Untuk rekod juga, setakat 23 Julai, Malaysia yang telah merekodkan 980,491 kes dan dilaporkan negara Asia Tenggara paling teruk dilanda pandemik Covid-19 berdasarkan relatif populasi.