Redah Sungai Galas hantar bantuan

Iklan
Meredah Sungai Galas selama sejam dan mendaki tebing tinggi tidak mematahkan semangat ahli Penggerak Komuniti Negara (PKN) Kuala Krai untuk turun padang mengagihkan bantuan makanan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan persisir sungai itu.

KUALA KRAI - Meskipun terpaksa meredah Sungai Galas selama sejam dan mendaki tebing tinggi, namun ia tidak mematahkan semangat ahli Penggerak Komuniti Negara (PKN) Kuala Krai untuk turun padang mengagihkan bantuan makanan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan persisir sungai itu.

Pengerusinya, Tarmizi Mat Yusoff menyifatkan cabaran itu cukup sinonim dengan pihaknya setiap kali turun padang mengagihkan sumbangan kepada penduduk khususnya di Kampung Bahagia, Mambong, Sri Tanjong, Sungai Durian, Sungai Rimau dan Johol.

Iklan
Iklan

"Sungai Galas merupakan laluan utama masuk ke kampung-kampung tersebut. Walaupun ada laluan darat tetapi kami perlu menggunakan pacuan empat roda dan mengambil masa antara dua hingga tiga jam untuk sampai ke kawasan kampung itu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, perjalanan itu bergantung kepada keadaan cuaca dan situasi semasa.

Iklan

Beliau berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa pihaknya sudah mengagihkan sumbangan kepada lebih 2,000 penduduk di sekitar kawasan parlimen Kuala Krai.

Tarmizi berkata, selain makanan, bantuan ubat-ubatan, pelitup separuh muka, serta cecair pembasmi kuman turut diberikan kepada penerima.

Iklan

"Semasa agihan disalurkan itu, kami turut memberi galakan kepada orang ramai supaya mendapatkan suntikan vaksin.

"Suntikan ini penting bagi memastikan kita mencapai imuniti kelompok dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Tarmizi berkata, penerangan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) turut diberikan bagi memastikan penerima sentiasa menitik beratkan perkara itu.