UniSZA terima anugerah khas

Iklan
UniSZA menggondol anugerah khas 'The Best Award' selain berjaya meraih enam pingat dalam MTE 2019.

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menggondol anugerah khas 'The Best Award' selain berjaya meraih enam pingat dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2019 di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.

Anugerah khas diperolehi melalui produk 'PROPOPLUS: Trigona Beauty' iaitu set penjagaan kulit berasaskan propolis kelulut hasil ciptaan Prof Madya Dr Khamsah Suryati Mohd dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM).

Iklan
Iklan

Beliau ketika ditemui berkata, produk yang dibangunkan itu adalah hasil kajian lebih enam tahun terhadap propolis kelulut.

"Sebelum ini propolis hanya dibuang sahaja disebabkan kurang pengetahuan teknologi 'know-how' dalam kalangan penternak kelulut terhadap proses pengekstrakan propolis.

Iklan

"Namun, kajian yang melibatkan empat geran penyelidikan dan penghasilan lebih 10 penerbitan ini telah membuktikan potensi yang tinggi propolis kelulut dan mengandungi bahan-bahan yang amat sesuai untuk dijadikan produk penjagaan kulit,” katanya.

Beliau berkata, Propoplus Cosmetics yang terdiri dari pencuci muka, toner dan pelembab dua dalam satu itu dihasilkan melalui formulasi khas.

Iklan

"Produk ini tidak memudaratkan kulit pengguna, sesuai di pakai untuk semua jenis kulit dan mesra wuduk.

"Produk ini juga telah mendapat perlindungan harta intelek di bawah Hakcipta dan Cap Dagang. Paten juga telah difailkan melalui Malaysia Intellectual Property Office (MyIPO)," katanya.

Tambahnya, produk telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bersedia untuk memasuki pasaran dan UniSZA melantik Syarikat YMR International Marketing Sdn Bhd sebagai syarikat pemasaran produk.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata, UniSZA telah menghantar 10 penyertaan melalui sembilan orang penyelidik untuk MTE pada kali ini.

Menurutnya, secara keseluruhannya, daripada 10 penyertaan tersebut UniSZA berjaya meraih satu anugerah khas, dua pingat emas, empat pingat perak dan dua pingat gangsa.

"UniSZA akan sentiasa berusaha menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang mampu memberi manfaat kepada agensi kerajaan, masyarakat dan industri," katanya kepada media.

Katanya, selain mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi UniSZA, peluang itu juga telah digunakan untuk mencari rakan kerjasama strategik bagi produk dan teknologi yang dibangunkan.

Bertemakan ‘Asia’s Invention and Innovations Marketplace’, MTE 2019 merupakan antara pameran inovasi yang paling menonjol di Asia kerana berjaya menarik kira-kira 8000 pengunjung dan lebih daripada 500 penyertaan daripada pelbagai negara.