TUMPAT - Bersarapan di kedai Pak Mat bukan sekadar meneguk secawan kopi, tetapi hati 'dihiburkan' dengan koleksi barangan antik.
Trompet tanduk kerbau, gergaji ekor buaya, lampu gasolin, duit syiling lama, buyung tembaga, alat timbang emas dan banyak lagi koleksi antik berusia ratusan tahun tersusun rapi di kedainya di Kampung Kebakat.
Pak Mat atau nama sebenarnya, Che Mat Che Abas, 67, berkata, koleksi antik ini dikumpulkan sejak 40 tahun yang lalu.
Kerana minat, dia sanggup berhabis duit membeli barang antik di merata tempat ketika merantau ketika zaman mudanya.
Pak Mat berkata, lebih 300 koleksi barangan antik pelbagai jenis dari barangan dapur, alat pertukangan, aksesori rumah, alat penimbang dan barangan elektrik.
"Kesemuanya masih berfungsi dengan baik, sudah banyak jugalah Pak Mat jual barang antik ini sejak lima tahun dipamerkan di kedai ini.
"Orang kata masuk kedai kopi Pak Mat bukan setakat boleh makan, boleh cuci mata tengok keunikan barang antik," katanya.
Menurutnya, barang antik ini juga banyak diperolehi daripada penduduk sekitar kampung ini memandangkan mereka tahu dia peminat barangan antik.
Pak Mat berhabis RM15,000 membeli barangan antik sejak meminati hobi ini, namun wang bukanlah ukuran.
"Tak rugi beli barang antik kerana ia ada peminatnya dan saya akan jual jika ada yang nak beli," katanya sebelum ini menyimpan koleksi barangan antik di rumah.
Barangan antik yang paling mahal koleksi Pak Mat adalah keris yang harganya mencecah RM2,000.
Katanya, untuk menjaga barangan antik tidaklah cerewet, tetapi kena rajin dan kerana itu setiap hari Pak Mat akan membersihkannya daripada habuk.
Kedai kopi Pak Mat dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 2.30 petang yang terletak berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Kebakat.
Pelanggannya, Mohd Zulhairi Isa, 42, berkata, kedai Pak Mat sangat unik kerana tersimpan khazanah barangan antik.
"Sambil tunggu minuman dan roti canai sampai di meja, bolehlah tengok keunikan barangan antik di kedai ini," katanya.
Ia sekaligus dapat memperkenalkan barang-barang lama kepada generasi muda terutamanya alat menangkap ikan, alat timbang dan telefon serta radio antik.