TUMPAT - Seorang tauke kedai emas mengagihkan 1.2 tan durian secara percuma kepada orang ramai yang melalui Jalan Kota Bharu-Pasir Pekan di sini pada Sabtu.
Murtadhadumizi Mustapha, 27, yang merupakan pemilik kepada Mz Gold Sdn Bhd berkata, agihan itu merupakan bentuk perkongsian rezeki pihaknya kepada orang ramai dalam suasana Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0.
"Saya akui ketika ini ramai yang terjejas pendapatan akibat peningkatan kes Covid-19 menyebabkan penduduk berfikir dua kali untuk membeli durian memandangkan harga raja buah itu agak tinggi.
"Namun hari ini (Sabtu), Mz Gold berikan durian secara percuma bagi membolehkan orang ramai yang terjejas pendapatannya dapat menikmati buah tersebut," katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya, agihan durian segar dari Dabong, Kuala Krai itu bertujuan membantu pemilik kebun yang sedang berdepan dengan lambakan raja buah tersebut.
Katanya, usaha bersifat serampang dua mata itu bagi memastikan kesemua pihak yang terlibat mendapat manfaat melalui usaha Mz Gold ini.
Murtadhadumizi berkata, antara durian segar yang diagihkan hari ini daripada jenis kampung, Tok Litok, D7 dan musang king.
"Ini merupakan agihan sulung durian percuma yang dilakukan dan kami akan perluaskan agihan ini kepada penduduk di sekitar Kota Bharu pada masa akan datang," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang melalui jalan tersebut akan menerima sumbangan buah durian sebanyak dua biji.