KUALA LUMPUR - Dakwaan Kerajaan Negeri Perak yang mengatakan telah mematuhi undang-undang dalam keadaan di mana orang asli mungkin memiliki hak tanah adat melalui 'common law' adalah mengelirukan.
Presiden Malaysian Bar, George Varughese berkata, mahkamah atasan juga menyatakan kerajaan negeri memegang amanah melindungi hak tanah orang asli dan tidak bertindak secara tidak konsisten atas hak tersebut.
"Oleh itu, Malaysian Bar menyeru Kerajaan Negeri Perak untuk menangguhkan semua aktiviti pembalakan di kawasan yang berpotensi bertindih dengan tanah adat Kampung Orang Asli Tasik Cunex, Gerik.
ARTIKEL BERKAITAN: Mengapa orang asli marah pembalakan di Gerik, Perak?
Hentikan segera pembalakan di Gerik
"Kerajaan Negeri Perak juga perlu menyiasat dan meninjau tanah yang dituntut bersama orang asli Kampung Tasik Cunex, Gerik di mana orang asli mempunyai hak tanah adat mengikut 'common law', untuk menyimpan semua tanah tersebut demi kepentingan masyarakat orang asli," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Malaysia Bar turut menggesa Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk mengambil segala tindakan yang perlu, termasuk langkah-langkah undang-undang bagi memastikan hak tanah adat orang asli Kampung Tasik Cunex Gerik dilindungi.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, penduduk orang asli di kampung tersebut mendakwa Kerajaan Negeri Perak menceroboh tanah adat mereka untuk aktviti pembalakan sejak 18 Januari lalu.
Walaupun ditawarkan habuan lumayan oleh kerajaan negeri, penduduk tetap membantah aktiviti pembalakan berhampiran penempatan mereka.