IPOH - Tiga beradik berusia dua dan tujuh tahun termasuk kembar terperangkap hampir 20 minit di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terkunci di Taman Perpaduan, Hulu Kinta di sini pada Sabtu.
Kejadian itu berlaku selepas ibu mereka meninggalkan kenderaan berkenaan dalam keadaan enjin tidak dimatikan dipercayai untuk membeli kuih.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh pada jam 5.21 petang memaklumkan terdapat tiga kanak-kanak terkunci dalam MPV jenis Proton Exora.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Khairuddin Hussin berkata, ketika anggota tiba di lokasi, kembar berusia tujuh tahun itu didapati sedang tidur manakala adik mereka berusia dua tahun sedang leka bermain.
"Anggota cuba mengejutkan pasangan kembar itu dengan mengetuk cermin kereta, namun gagal sebelum menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kenderaan tersebut," katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka tidak mengalami kecederaan dan telah diserahkan semula kepada ibunya.
"Kita mengambil masa kira-kira tiga minit untuk membuka pintu kenderaan itu. Operasi tamat pada jam 5.51 petang," katanya.