SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyumbang sebanyak 10 ekor lembu untuk ibadah korban kepada 1,170 keluarga sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, PLUS sentiasa mencari inisiatif untuk terus membantu komuniti di sepanjang 1,130 kilometer (km) rangkaian lebuh rayanya terutama pada musim perayaan.
"Semoga sumbangan kecil ini membawa keberkatan dan kegembiraan kepada seluruh keluarga penerima ketika meraikan perayaan Aidiladha bermakna ini.
"Kami memahami, ramai daripada kita harus berkorban dan melepaskan keperluan asas yang pernah dinikmati sebelum pandemik.
"Sebagai sebuah organisasi, kami mempunyai tanggungjawab untuk membantu mereka di dalam jajaran lebuh raya ketika tempoh sukar ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, harapan PLUS adalah luhur demi mencari keberkatan dengan menceriakan masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PLUS dalam perancangan sentiasa melibatkan komuniti sepanjang jajaran lebuh raya kendaliannya terutama golongan berpendapatan rendah (B40).
Katanya, inisiatif itu dengan sasaran meningkatkan kualiti hidup golongan B40 melalui sokongan kewangan dan program-program pendidikan serta keusahawanan dalam komuniti.