Kelantan United tidak beri laluan mudah di Cheras

Iklan
Pemain Kelantan United giat menjalani latihan sebagai persediaan sebelum menentang PDRM di Cheras. - Foto Kelantan United Football Club

KELANTAN United FC datang dengan status pasukan bukan pilihan namun akan melakukan yang terbaik ketika berdepan PDRM pada saingan Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, Kuala Lumpur, malam esok.

Ketua Jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor berkata beliau mengakui Sang Saka Biru adalah pasukan mantap dan mereka menghormati keupayaan kelab tersebut, terutamanya setelah menerima sentuhan jurulatih baharu.

Iklan
Iklan

"PDRM berubah total apabila merekrut jurulatih baharu, kami akui kualiti dan kekuatan mereka kini lebih baik berbanding perlawanan pusingan pertama tempoh hari," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Nazrulerwan berkata, bagaimanapun, dalam arena bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku walaupun Kelantan United hadir sebagai pasukan bukan pilihan.

Iklan

"Saya menasihati pemain saya agar tidak memandang mudah pasukan tuan rumah supaya mereka dapat beraksi dengan lancar.

"Ya, kami (jurulatih) berpesan kepada pemain supaya berhati-hati. Kita tidak boleh terleka sepanjang masa perlawanan untuk mengelakkan perangkap dari pasukan PDRM FC," katanya.

Iklan

Jurulatih berasal dari Selangor itu juga berharap para penyokong sentiasa di belakang Kelantan United yang akan turun berjuang dalam misi memperbaiki kedudukan Liga.

"Kami meminta pemain ke-12 yakni penyokong terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kelantan United FC.

"Walaupun tidak dapat hadir dan memberi sokongan di stadium, sokongan padu serta doa anda ditagih seterusnya melancarkan urusan pasukan untuk memenangi perlawanan di Cheras," katanya. - Bernama