SITUASI ombak merupakan halangan utama yang perlu diharungi kem pelayar negara pada saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Enoshima Yacht Harbour kali ini.
Menurut pelayar negara, Juni Karimah Noor Jamali, situasi ombak yang berlainan semasa sesi latihan itu juga secara tidak langsung menguji mental dan fizikal beliau dan pasangannya Nuraisyah Jamil pada penampilan pertama dalam temasya sukan terbesar dunia tersebut pada Rabu ini.
"Situasi ombak yang berlainan di laluan Enoshima, Fujisawa dan Zhushi sejak hari pertama kami sampai di sini sememangnya merupakan dugaan dan cabaran besar sepanjang menjalani latihan di sini.
"Ini kerana kami perlu lebih bijak dan bersedia mengawal situasi apabila berdepan keadaan ombak yang berlainan serta sukar dijangka di ketiga-tiga laluan kawasan tersebut,” kata Juni kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Untuk rekod, Juni akan membuat penampilan sulung bersama Nuraisyah di Tokyo 2020 dalam acara International 470 Wanita di Enoshima Yacht Harbour yang menjadi lokasi sukan pelayaran.
Mengulas mengenai persiapan mereka berdua bagi mengharungi cabaran kali ini, Juni berkata, beliau percaya mereka berdua mampu memberi impak positif selepas melalui sesi latihan di tanah air sebelum ini diikuti latihan di venue pertandingan.
"Alhamdulillah, selepas melalui sesi latihan rapi semasa di Malaysia dan kini di sini, saya optimis kami telah berjaya membentuk satu gandingan yang mantap bagi memberikan aksi terbaik di Tokyo 2020.
"Kami juga selalu berkomunikasi bagi memperbaiki teknik pelayaran sebelum menjalani latihan selain menyertai mini race untuk test boat kami dengan pihak lawan. Alhamdulillah so far semua berjalan lancar,” katanya yang berharap mereka berdua dapat memberikan aksi terbaik untuk rakyat Malaysia.
Juni dan Nuraisyah menempah tiket ke Tokyo 2020 selepas menduduki tempat kelima keseluruhan dalam perlumbaan kategori International 470 pada Kejohanan Perahu Layar 470 Antarabangsa Asia 2019.