Karya kembara sastera

Iklan
Karya kembara sastera tidak hanya terhad kepada tema pengembaraan tetapi menjauh dan melebar sehingga berfungsi menyelongkar sejarah dan budaya silam.

KEMBARA ialah satu perjalanan atau mengembara pergi ke mana-mana.

Bertualang dan menjelajah juga tergolong dalam pengertian kembara manakala sastera adalah manifestasi artistik yang terasas dalam penggunaan kata pada bahasa tulisan atau lisan.

Iklan
Iklan

Justeru, cantuman dua perkataan itu dengan sendirinya terbentuk istilah"kembara sastera” yang pada perspektif umum membawa makna suatu bentuk penulisan kreatif yang terhasil daripada pengalaman nyata pengarang yang menjejaki, melihat, merenungi dan menghayati sesuatu destinasi.

Namun begitu, rumusan ringkas ini turut menimbulkan persoalan hiliran iaitu terdapatkah perbezaan antara bentuk penulisan sastera kembara dengan penulisan laporan pengembaraan?

Iklan

Bagi menghalusi aspek itu Kamus Dewan menyatakan bahawa kembara ialah pergi ke mana-mana dengan tidak tetap tempat kediaman dan tidak tentu pula tempat yang ditujui, disebut juga bertualang, menjelajah dan mengembara.

Pengertian sastera pula diertikan sebagai penggunaan bahasa (bukan bahasa basahan) dalam karya seni berbentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu.

Iklan

Secara tuntasnya karya kembara sastera merupakan tulisan berbentuk prosa atau puisi yang memerihalkan pengembaraan ke sesuatu tempat dengan menggunakan bahasa baku (tinggi) serta menampilkan sesuatu yang istimewa.

Karya kembara sastera terhasil apabila pengarang itu menjejaki sesuatu lokasi dan merakamkan pengalamannya ke dalam apa sahaja bentuk tulisan kreatif.

Karya kembara sastera yang paling bermakna ialah buku kerana ia mampu merakamkan pengembaraan dalam tulisan dan foto secara menyeluruh berbanding esei, novel, puisi mahupun cerpen.

Di Malaysia terdapat beberapa buah buku bercorak kembara sastera yang penting dan popular dalam kalangan masyarakat sastera iaitu Warkah Eropah buah tangan Sasterawan Negara, A. Samad Said terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1991, Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom dan Dublin (Nisah Harun, ITBM: 2012) dan terbitan terkini berjudul Kembara Mencari Sempadan: Catatan Seorang Penyair karya Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh (DBP: 2019).

Karya Eropah

Di Eropah pula antara buku kembara sastera tersohor ialah Journey to Portugal (Jose Saramago: 2000) dan Conquerors (Roger Crowley: 2015) manakala di Australia muncul The Pacific in the Wake of Captain Cook (2019) karya Meaghan Wison Anastasios.

Banyak lagi naskhah berbentuk demikian di serata dunia, namun untuk tulisan ini memadai penulis mengemukakan ketiga-tiga buku tersebut sebagai rujukan dan cerminan.

Asas kemunculan karya tersebut ialah pengembaraan.

Namun begitu, walaupun pada hakikatnya karya itu lahir berasaskan pengembaraan tetapi perlu juga disertai pandangan pengarang terhadap ruang lingkup perjalanannya.

Pandangan mereka rencam tetapi menjurus kepada hal ehwal pengembaraan.

Penulis menyifatkan karya kembara sastera yang lebih bermakna dan berkesan ialah karya yang menampilkan sesuatu keistimewaan yang dilihat, didengar dan dialami oleh pengarang semasa dalam tempoh pengembaraan.

Misalnya, Muhammad Haji Salleh menyuarakan niatnya berkembara kerana mencari sesuatu. Katanya;"antara yang saya cari ialah seni dan sastera yang halus dan tinggi pencapaiannya.”

Justeru karya kembara sastera itu bukan sekadar memaparkan episod kronologi kunjungan ke sesuatu lokasi sebagai pelancong tetapi perlu juga seperti Muhammad Haji Salleh mencari"seni dan sastera yang halus dan tinggi pencapaiannya” yang terdapat di lokasi kembara untuk disulami ke dalam penulisan.

Selari juga dengan pandangan Jose Saramago bahawa"sebuah buku yang mampu menawarkan cara baru yang segar untuk melihat, cara baru untuk merasa.”

Jose Saramago ialah sasterawan Portugis dan pernah memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun 1998. Novelnya Journey to Portugal telah diterjemahkan ke dalam 20 bahasa dunia.

Beliau mengarang tidak hanya memaparkan cerita kenangan perjalanan yang dilalui tetapi menonjolkan sejarah dan budaya Portugis.

Malahan Meaghan Wilson Anastasios mengatakan The Pacific in the Wake of Captain Cook (2019) yang dihasilkannya adalah suatu kembara yang membongkar semula sejarah yang pernah dilalui Kapten James Cook iaitu orang pertama yang belayar di Lautan Pasifik sekitar tahun 1768 lantas menjumpai benua Australia.

Travelog

Menyedari hakikat ini, karya kembara sastera itu tidak hanya terhad kepada tema pengembaraan semata-mata tetapi menjauh dan melebar sehingga berfungsi menyelongkar sejarah silam sebagaimana kisah pelayaran Kapten James Cook yang telah ditinggalkan kira-kira 250 tahun dahulu.

Jika kita akur dengan pandangan tersebut, sudah tentu bentuk penulisan karya kembara sastera itu bukan laporan pengembaraan atau sekadar catatan travelog tetapi menampilkan sesuatu yang istimewa sebagaimana yang disebut Muhammad Haji Salleh iaitu di dalamnya mesti hadir tentang seni dan sastera atau unsur-unsur sejarah serta tamadun manusia sebagaimana yang dinukilkan oleh pengarang Barat, Jose Saramago, Meaghan Wilson Anastasios dan Roger Crowley.

Oleh itu, bukan mudah untuk menghasilkan karya kembara sastera, apatah lagi dalam bentuk buku yang perlu ditukangi dengan strategi penulisan yang memerlukan penyelidikan, rujukan serta pengamatan tinggi.

Nisah Haji Haron dalam satu bengkel Intensif Seni Bercerita dalam Travelog (2015) ada menyebut rangka karya kembara sastera itu wajar dianyam dengan seni bercerita antara fakta dan kreativiti, unsur-unsur dramatik, emosi serta pemikiran selaras apa yang penulis fahami sebagai writing strategic itu.

Ha-hal seperti seni bercerita, unsur dramatik, emosi dan pemikiran yang digaulkan dalam penulisan pengembaraan sudah memadai mengangkat sesuatu karya itu sebagai sebuah penghasilan dalam bentuk sastera dan bukan laporan pengembaraan atau catatan perjalanan.

Justeru kehadiran hal-hal tersebut dalam sesuatu penulisan merupakan sempadan pemisah yang dapat membezakan antara karya kembara sastera dengan laporan pengembaraan atau catatan perjalanan.

Karya kembara sastera kian popular dalam kalangan penulis sekarang kerana mereka berkesempatan berkelana atau melancong ke mana-mana sahaja di dunia sekali gus hal ini mendedahkan mereka kepada pengalaman baharu yang perlu ditulis sama ada dalam bentuk prosa mahupun kreatif.

Namun begitu, bagi menyemarakkan perkembangannya, badan tertentu harus menganjurkan sayembara mengarang karya kembara sastera sekali gus dapat menokok khazanah yang sedia ada.

*M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak