Angan-angan biar masuk akal

Iklan

TIDAK salah bermimpi dan berangan-angan asal bukan macam Mat Jenin yang merosakkan badan atau memberi harapan palsu kepada orang.

Apatah lagi jika angan-angan itu terlalu tinggi, subjektif dan kompleks bagi difahami oleh orang biasa.

Iklan
Iklan

Misalnya mengenai penarafan korporat ‘Fortune 500’ dalam kalangan peneroka Felda.

Rasanya bukan peneroka Felda saja yang tidak pernah dengar mengenai ‘Fortune 500’ malah banyak lagi orang Malaysia dan dunia yang terpinga-pinga.

Iklan

Hanya mereka yang terlibat dengan dunia ekonomi dan perniagaan besar saja yang mungkin faham.

‘Fortune 500’ adalah penarafan ke atas 500 buah syarikat terbesar di Amerika Syarikat (AS) yang disediakan setiap tahun oleh majalah ekonomi Fortune yang berpangkalan di New York.

Iklan

Kemudian ada kategori antarabangsa yang dipanggil ‘Global 500’.

Kaedah pokok penarafannya adalah dengan mengira jumlah pendapatan tahunan sesebuah syarikat.

Semua syarikat yang mahu dinilai mesti mencetak butiran kewangan dan melaporkannya kepada badan kerajaan yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal korporat di negara masing-masing.

Jadi kalau Felda hendak mencapai penarafan dunia kenalah bersaing dalam ranking ‘Global 500’ dan bukannya ‘Fortune 500’ seperti yang diangan-angankan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menjadikan Felda salah sebuah ‘syarikat Fortune 500’.

Saya tabik spring kepada beliau kerana berani berangan-angan begitu tinggi.

Tapi saya mungkin tidak akan hidup cukup lama untuk melihat kesudahan angan-angan beliau itu kerana beliau menyasarkannya pada tahun 2040.

Tetapi kalau Idris menjaga kesihatan, termasuk meminum sesudu minyak kelapa sawit setiap hari, beliau mungkin boleh melihat sama ada Felda tersenarai dalam ‘Global 500’.

Maaf cakaplah kalau saya kata, perjalanan menuju matlamat ‘Global 500’ itu amat jauh malah tidak masuk akal jika dibandingkan dengan kedudukan Felda sekarang.

Mula-mula sekali piawaian Felda mengenai keterbukaan dan tanggungjawab kewangan masih jauh di belakang.

Contohnya, laporan tahunan lambat disiapkan. Carian saya mendapati maklumat terbaharu mengenai akaun Felda adalah bagi tahun 2017.

Pada tahun itu, pendapatannya dicatatkan pada kadar RM700 juta atau bersamaan kira-kira AS$170.7 juta sedangkan syarikat yang menduduki tempat terakhir dalam senarai ‘Global 500’ bagi tahun 2020 iaitu Shanxi Jincheng Anthracite Coal Mining Group dari China mempunyai pendapatan AS$25 bilion atau RM102.5 bilion.

Tidak tahulah saya macam mana dalam masa 19 tahun dan dengan pendapatan sekitar RM700 juta, Felda boleh mengejar dan memotong syarikat perlombongan arang batu China itu.Skandal

Saya rasa adalah lebih baik Felda berusaha keras menyelesaikan perkara yang lebih mendesak dan dekat dengan hati peneroka, misalnya skandal pembelian ladang PT Eagle High Plantations di Indonesia pada tahun 2016.

Ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) digulingkan pada Februari tahun lalu, kita sedang berunding dengan tauke Cina Indonesia, Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh supaya membeli balik saham yang dijualnya kepada Felda dengan harga sangat mahal.

Pada 9 April 2019, Ketua Pengarah Felda ketika itu, Datuk Dr Othman Omar telah membuat aduan polis dengan mendakwa Felda diperdaya dalam perjanjian berat sebelah jual beli ladang itu.

Apa sudah jadi dengan aduan itu? Ini adalah skandal korporat sangat besar yang sepatutnya diselesaikan dulu sebelum pengurusan Felda berangan-angan besar.

Kalau hendak selamatkan Felda ada jalannya sebab terdapat perjanjian yang membolehkan Felda menjual balik saham dibelinya dalam tempoh dipersetujui.

Bagaimanapun, sejak penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak kedengaran lagi berita mengenai rundingan dengan Sondakh itu.

Jadi eloklah isu-isu segera ini diberikan keutamaan kerana cita-cita menjadi syarikat ‘Global 500’ masih terlalu jauh dan kabur. Bukan tidak boleh berangan-angan, tetapi biarlah masuk akal.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara