‘B40, M40 lebih berisiko bankrap’

Iklan
Pakar ekonomi berpendapat golongan B40 dan M40 paling berisiko muflis kerana mereka berada dalam kategori paling lambat untuk pulih. Gambar kecil: Ahmed Razman

SHAH ALAM - Golongan B40 dan M40 lebih berisiko diisytiharkan bankrap kerana masalah kewangan serius akibat pandemik Covid-19.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana kedua-dua kumpulan tersebut sukar untuk kembali pulih selepas berdepan dengan kemelut kewangan.

Iklan
Iklan

"Golongan B40 dan M40 paling berisiko (bankrap) sebab dalam mana-mana krisis ekonomi golongan inilah sebenarnya yang mana kajian mendapati paling lambat sekali untuk pulih.

"Berbeza dengan golongan T20, mereka juga berisiko untuk bankrap tetapi cepat pulih kerana mereka ada aset yang boleh dijual.

Iklan

"Jadi, secara tidak langsung kumpulan T20 akan cepat pulih sekiranya bankrap. Berbeza dengan B40 dan M40 yang tidak mempunyai aset,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, secara umumnya kemungkinan lebih ramai lagi rakyat Malaysia sepatutnya diisytiharkan muflis, namun ia tidak dimasukkan ke dalam statistik kerana nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan telah dipinda daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Iklan

"Kemungkinan ramai yang sudah berhutang RM60,000 hingga RM80,000 dan ini dapat kita lihat melalui hutang isi rumah.

"Hutang isi rumah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah meningkat sehingga 93 peratus,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai cara untuk mengelak daripada berisiko diisytiharkan bankrap dalam tempoh mencabar ini, beliau berkata, rakyat perlu elak daripada menambah hutang baharu.

Beliau menjelaskan lagi, masyarakat juga perlu mempunyai perancangan kewangan yang betul.

"Paling penting sekali kita kena pastikan ada lebihan pendapatan setiap bulan.

"Kalau tidak ada lebihan pendapatan ini, risiko untuk berhutang itu tinggi,” kata Ahmed Razman.

Baki gaji suami tinggal RM50 sebulan selepas bayar tunggakan

ALOR SETAR - Sebuah keluarga di mukim Derga di sini, terpaksa meneruskan hidup dengan baki gaji yang tinggal sekitar RM50 sebulan selepas menyelesaikan komitmen hutang.

Suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 30-an, berkata, kehidupan mereka tidak bermasalah sebelum ini memandangkan suaminya memperoleh pendapatan lebih kurang RM60 sehari untuk menyara kehidupan mereka.

Bagaimanapun, pendapatan si suami mula terjejas teruk semenjak April lepas apabila gaji terpaksa dipotong akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jika sebelum ini, suami yang bekerja sebagai pembantu kedai memperoleh lebih kurang RM1,500 sebulan, namun pendapatan kini berkurangan hampir 80 peratus apabila meraih sekitar RM300 sebulan sahaja.

"Dalam sebulan, suami hanya boleh bekerja 15 sehari kerana perlu bergilir-gilir kerja dengan rakannya. Malah gaji dipotong disebabkan pelanggan berkurangan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Katanya, mereka akur kerana memahami nasib majikan suaminya yang turut terkesan sekali gus tabah meneruskan kehidupan meskipun berdepan dugaan ketika tempoh PKP ini.

"Daripada RM300 sebulan itu, kira-kira RM242 diperuntukkan untuk membayar wang motosikal suami yang digunakan untuk berulang alik ke tempat kerja di Kampung Berjaya di sini.

"Dengan lebihan wang sekitar RM50 itulah digunakan untuk makan minum, pelajaran anak sulung kami berusia sembilan tahun dan lampin pakai buang anak bongsu berusia tiga tahun,” katanya.

Bagaimanapun, lebihan wang gaji suami tidak mencukupi untuk menampung keperluan dan komitmen hutang.

Namun, dia bersyukur kerana tidak perlu membayar sewa rumah apabila menumpang di rumah ibu bapanya.

"Sejak beberapa bulan lepas, kami tidak mampu membayar wang ansuran motosikal menyebabkan ia tertunggak agak banyak. Mujur, dapat bantuan kerajaan RM500 dan wang itulah digunakan untuk menjelaskan bayaran tertunggak itu,” ujarnya.

Menurut Siti, komitmen hutang lama telah selesai, namun kini bayaran motosikal suaminya tertunggak semula apabila mereka tidak mampu menjelaskan bayaran ansuran bulanan terkini.