BACHOK - Seorang buruh yang terjaga daripada lena kerana ingin membuang air kecil menyelamatkannya lima beranak daripada rentung dalam kebakaran rumah pusaka di Kampung Paya Teratai di sini pada Sabtu.
Kejadian disedari berlaku oleh Roslan Awang, 45, pada jam 3 pagi.
Isterinya, Fauziah Ibrahim, 42, berkata, dia ketika itu tidur bersama seorang anaknya yang berusia lima tahun di dalam bilik manakala suami dan dua lagi anak mereka yang berusia 11 tahun dan 8 tahun tidur di ruang tamu.
"Suami tiba-tiba terasa ingin membuang air kecil dan terjaga dari tidurnya untuk ke tandas. Dia bagaimanapun terdengar bunyi percikan api bersama bau hangit sebelum ternampak api di bahagian dapur.
"Ketika menjengah ke dapur, api sudah pun marak membakar di bahagian telaga yang terdapat enjin pam air, mesin basuh dan tiga motosikal,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, dalam keadaan cemas suaminya mengejutkan mereka untuk segera keluar dari rumah berkenaan.
"Saya panik tak dapat nak berfikir melainkan segera mencapai anak-anak dalam keadaan mamai membawa mereka keluar sehelai sepinggang.
"Apabila terfikir hendak telefon bomba, saya dan suami naik semula ke dalam rumah mendapatkan telefon bimbit dan dokumen penting untuk diselamatkan,” katanya.
Menurutnya, tindakan pantas Bomba Bachok yang tiba di lokasi berjaya memadamkan api daripada terus merebak.
"Dapur dan peralatan di bahagian itu yang musnah manakala ruang tamu dan bilik tidur terselamat.
"Kami lima beranak kini menumpang makan di rumah kakak yang terletak di hadapan rumah kami kerana belum berkemampuan untuk menggantikan barangan dan membaiki kerosakan itu,” katanya.
Fauziah berkata, suaminya baru tiga hari kembali bekerja sebelum Aidiladha manakala dia pula suri rumah yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara sambilan dalam talian.
"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 menjejaskan pendapatan kami ditambah pula dengan ujian ini bagaimanapun kami sentiasa menerima bantuan barangan makanan yang disampaikan pemimpin setempat dan orang persendirian,” katanya.
Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Maybank bernombor 156114016815 atas nama Fauziah Ibrahim.