SHAH ALAM - Seorang anggota bomba menjadi 'bidan terjun' menyambut kelahiran seorang bayi perempuan dalam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dekat sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, anggota balai berkenaan, Norsyuhadah Ahmad menyambut kelahiran bayi tersebut sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
Iklan
Iklan
Menceritakan kejadian, katanya, ibu bayi itu, Nyak Siti Nurleena Zulkarnain, 29, bersama suami dalam perjalanan ke Hospital Shah Alam sekitar jam 7 malam selepas berasa sakit untuk melahirkan bayi.
"Dalam perjalanan itu, dia berasa sakit dan air ketuban telah pecah berhampiran BBP Kota Anggerik. Mereka kemudian terus memohon bantuan di balai tersebut.
"Anggota dalam balai kemudian telah menghubungi KKM untuk bantuan. Bagaimanapun, bayi tersebut telah selamat dilahirkan disambut Norsyuhadah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, ibu dan bayi berada dalam keadaan selamat.