KEPALA BATAS - Empat remaja termasuk tiga yang masih bersekolah ditahan selepas melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di Jalan Lahar Kepar, Penaga di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua remaja itu ditahan melalui Op Samseng Jalanan yang dilakukan kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, pemantauan yang dilakukan oleh Skuad 42 Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik mendapati empat remaja yang menunggang motosikal berasingan membuat aksi mengangkat tayar hadapan bermula dari arah Penaga menuju ke Jalan Lahar Kepar.
"Aksi berbahaya yang dilakukan bukan sahaja boleh mengancam nyawa mereka malah pengguna jalan raya yang lain.
"Selepas pemantauan dibuat, pasukan polis berjaya mengepung mereka sebelum kesemuanya ditahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Noorzainy berkata, mereka yang ditahan berusia diantara 13 hingga 16 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut.
Katanya, kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya.