KUANTAN - Tindakan seorang wanita memberi penerangan dalam bahasa Mandarin berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar di kawasan Perumahan Inderapura di sini pada Jumaat, bukan sahaja menarik perhatian penduduk setempat, malah menjadi tular di laman sosial.
Nur Allyshia Ariana Low, 27, membuat hebahan dalam bahasa Mandarin ketika melalui rumah yang dihuni oleh masyarakat Cina.
Tindakan Pembantu Penerangan dari daerah Kuantan itu menarik minat pasangan berbangsa Cina di perumahan itu untuk berbual dan bertanyakan mengenai vaksin Covid-19.
Ketika dihubungi Sinar Harian, Nur Allyshia berkata, tidak menyangka video yang memaparkan tindakannya itu menjadi tular di laman sosial sehingga mendapat pujian daripada orang ramai.
"Niat saya hanya untuk memberi penerangan dan bertanya khabar, tapi tidak sangka ia menjadi perbualan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Nur Allyshia berkata, ketika video berkenaan dirakamkan, pasangan suami isteri tersebut berada di pagar rumah bagi mendengar penerangannya.
"Rakan sekerja saya memberhentikan van yang kami naiki. Saya kemudian bertanyakan kepada pasangan itu sama ada bekalan makanan mencukupi atau tidak.
"Pasangan itu berkata keperluan mencukupi tetapi sayur-sayuran sahaja tidak mencukupi. Saya memberitahu dia, barangan boleh didapati di pasar raya berdekatan tetapi hanya seorang sahaja dibenarkan keluar," katanya.
Sementara itu, rata-rata netizen memberi reaksi positif terhadap video berdurasi 30 saat yang dimuat naik dalam akaun TikTok itu.
Seorang pengguna akaun TikTok, Yunhi memuji kepetahan Nur Allyshia berbahasa Mandarin.
"Very great even the slang too", tulis Yunhi di ruangan komen.
Seorang lagi pengguna TikTok, dayanabahazelan pula memberikan komen"Terbaekkk..Good Job Ally".