SHAH ALAM - Operator pusat beli-belah dan pengusaha runcit di negara ini berharap hanya pengunjung yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan masuk ke premis mereka apabila sudah dibenarkan beroperasi nanti.
Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan persatuan runcit berkata, inisiatif itu akan mewujudkan persekitaran yang selamat bagi pembeli sekiranya kerajaan membenarkan mereka mengenakan syarat berkenaan.
"Ini akan meningkatkan peluang untuk kebangkitan semula dan kelangsungan hidup perniagaan runcit yang telah dipengaruhi oleh penutupan baru-baru ini.
"Kami menunggu dengan penuh harapan terhadap apa yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mereka yang telah lengkap menerima dua dos vaksin," kata mereka menerusi kenyataan pada Ahad.
Kumpulan terbabit terdiri daripada Persatuan Pusat Membeli-Belah Malaysia, Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Pertubuhan Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Pengurus REIT Malaysia (MRMA) dan Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa).
Menurut kenyataan sama, mereka turut berharap kerajaan akan membenarkan penyewa dan kedai di pusat beli-belah dibuka semula apabila imuniti kelompok negara mencapai 70 peratus.
"Kami berharap dapat menjadi 'gelembung hijau' bagi mereka yang mencari kelegaan setelah lama dikurung," kata mereka.
Jelas mereka langkah itu juga diyakini akan mendorong lebih ramai rakyat mendapat vaksin.
Muhyiddin pada Sabtu mengumumkan bahawa mereka yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 dijangka menerima berita baik tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata, beliau akan mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi golongan tersebut dalam beberapa hari lagi.
Katanya, antara kelonggaran yang diberikan termasuk SOP bagi pergerakan dalam negara termasuk perjalanan rentas sempadan terutama melibatkan suami atau isteri yang tinggal berjauhan, kegiatan sosial, sukan dan makan di restoran.