MASIH terngiang-ngiang ungkapan ‘saya minta maaf kawan-kawan’ yang terpacul dari mulut seorang rakan karib yang disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
Terdetik rasa terharu dalam hati kecil apabila dirinya masih sempat meminta maaf dan berasa bimbang terhadap rakan-rakan lain yang menjadi kontak rapat walaupun dirinya sendiri tidak tahu bagaimana dan di mana jangkitan itu diperolehinya.
Satu perkara yang pasti, virus jahat yang semakin bermutasi dengan lebih ganas ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal pesakit namun juga berupaya menjelmakan 1,001 perasaan antaranya rasa gelisah, marah, sunyi, kecewa serta rasa bersalah dalam diri pesakit.
Hakikatnya, tiada seorang pun manusia di dunia ini meminta untuk dijangkiti namun tidak dapat dinafikan, ada dalam kalangan individu positif Covid-19 diselubungi rasa bersalah sekiranya didapati menjangkiti orang lain termasuk ahli keluarga dan sahabat handai.
Apa yang mencetuskan perasaan bersalah ini? Sebelum itu, perlu diingat masih banyak yang perlu dipelajari tentang pembunuh senyap ini namun penyelidik menyatakan kebanyakan kes tersebar melalui individu yang tidak bergejala atau masih belum menunjukkan gejala.
Ramai yang menyebarkan virus tidak tahu diri dijangkiti atau mampu menjangkiti orang lain. Namun, walaupun seseorang itu menyebarkan virus tanpa sedar, mereka masih berkemungkinan untuk berasa bersalah jika berlaku penularan.
Pekerja sosial perubatan berpengalaman di Sharp Chula Vista Medical Center, California, Amerika Syarikat, Wiara Jackson berkata, dalam sebuah laporan, rasa bersalah ini timbul apabila seseorang itu tidak menepati standard moral diri, terutama sekiranya ada orang lain yang terjejas secara negatif akibat tindakan kita.
Katanya, rasa bersalah tersebut umpama kompas moral dan ia reaksi yang wajar apabila kita menyakiti seseorang walaupun tanpa sengaja.
Dalam kes melibatkan Covid-19, rasa bersalah boleh timbul kerana menyebarkan virus atau lebih tragis kerana menyebabkan sakit yang serius dan kematian.
Dihantui rasa bersalah diakui bukan satu perkara mudah untuk ditangani namun sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan tidak terlepas daripada khilaf.
Sekiranya ada antara kita mengenali sesiapa yang berada dalam situasi sedemikian, janganlah terus menghukum sebaliknya ajak mereka berbicara dan berilah kata-kata semangat yang boleh meringankan tekanan.
Bagi kes lebih serius, segeralah rujuk kepada pakar kesihatan berkaitan sebelum situasi bertukar lebih parah, apatah lagi pada ketika ini berlaku peningkatan membimbangkan isu kesihatan mental berkaitan pandemik Covid-19.
Buktinya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba mendedahkan, 91.2 peratus daripada lebih 100,000 panggilan diterima talian bantuan sokongan psikososial memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.
Untuk individu positif Covid-19 yang mungkin sedang bergelumang dengan rasa bersalah, ketahuilah anda tidak keseorangan dan perkara paling penting adalah untuk belajar menerima hakikat dan berhenti menyalahkan diri sendiri.
Dari sudut lain, individu yang menyebabkan jangkitan Covid-19 tanpa sengaja mungkin dihimpit rasa bersalah tetapi bagaimana pula dengan segelintir pihak yang mementingkan diri dan culas dalam menjaga protokol kesihatan berkaitan Covid-19 sekali gus mendatangkan risiko jangkitan terhadap orang lain?
Lihat saja di dada akhbar dan media sosial, berapa banyak laporan mengisahkan individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan pihak berkuasa bagi mengekang Covid-19.
Ada yang masih degil tidak memakai pelitup muka dengan betul dan tidak mematuhi penjarakan sosial ketika berurusan tetapi paling biadab apabila ada mereka yang berani melakukan perjalanan merentas daerah dan negeri tanpa alasan kukuh.
Beringatlah, tidak kira siapa kita dalam hirarki kelompok masyarakat sama ada pemimpin atau yang dipimpin, kita mempunyai tanggungjawab besar memastikan bumi Malaysia menang dalam pertarungan menentang Covid-19 yang bukan sahaja meragut nyawa tetapi juga kehidupan dan kebebasan rakyat.
* Liza Mokhtar ialah wartawan Meja Premium Sinar Harian