MERAK Jalanan memang suka bersarapan dengan roti dan boleh dikatakan ia adalah makanan yang wajib ada di rumah setiap hari.
Selain dapat dimakan dengan ‘pantas’, roti juga sesuai bagi Merak Jalanan yang tidak gemarkan makanan berat untuk dihadam pada waktu pagi seperti nasi lemak, lontong, mi goreng atau soto.
Sudah menjadi rutin, setiap pagi Merak Jalanan akan ke kedai untuk beli roti kegemaran sebaik sahaja lori mendaratkan roti-roti segar dari kilang.
Namun semalam roti yang menjadi pilihan sejak sekian lama tidak kelihatan. Setelah bertanya dengan tauke kedai, rupa-rupanya roti-roti berkenaan tampil dengan pembungkusan baharu.
Mungkin syarikat tersebut merasakan pembungkusan lama kurang menarik atau pembungkusan baharu lebih menarik minat pembeli.
Ataupun pihak syarikat merasakan sudah tiba masanya roti itu hadir dengan pembungkusan baharu yang lebih segar.Bagi Merak Jalanan, ia tidak menjadi masalah selagi harga, rasa dan kuantiti masih dikekalkan.Tanpa disedari rupa-rupanya ada golongan yang tidak dapat menerima penukaran pembungkusan baharu itu.
Seorang kawan Merak Jalanan yang mempunyai anak autisme memberitahu, anaknya yang sebelum ini gemar makan roti coklat itu tidak lagi mahu makan roti sama kerana bungkusan berbeza.
Bukan sahaja tidak mahu makan, anak-anak syurga itu juga menangis mahukan roti coklat yang dimakan seperti sebelum ini.
Merak Jalanan dapat membayangkan betapa runsingnya perasaan ibu bapa berkenaan hendak memujuk anak masing-masing supaya dapat menerima perubahan tersebut.
Buat masa ini, belum ada ibu bapa yang berkongsi kejayaan mereka di media sosial memujuk anak austime untuk bersarapan dengan roti baharu itu.
Jika ada yang sudah berjaya mungkin boleh berkongsi dengan ibu bapa lain yang mengalami nasib sama.