POKOK SENA - Bayi dari Kampung Nawa di sini yang menghidap kanser otak tahap empat akan dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani pembedahan menebuk lehernya dalam masa terdekat.
Ibunya, Nurul Asyikin Mustafa, 26, berkata, Muhammad Adam Zikri Mohamad Zainal yang berusia setahun sepatutnya menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Ahad.
Bagaimanapun, katanya, pembedahan itu ditunda berikutan anak keduanya itu demam.
Menurutnya, doktor memberitahu pembedahan menebuk leher dilakukan untuk membantu Adam Zikri bernafas dengan baik supaya tidak perlu lagi bergantung kepada paip yang dimasukkan ke dalam mulutnya.
"Pembedahan dilakukan agar Adam Zikri tidak perlu bergantung kepada paip yang disalurkan ke mulutnya kerana doktor bimbang berlaku jangkitan kuman. Jika berjaya, doktor bakal benarkan anak kami ini pulang ke rumah selepas hampir empat bulan berada di unit rawatan rapi neonatal (NICU) HSB Alor Setar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nawa di sini Sabtu.
Nurul Asyikin berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Econsave Bahagian Utara, Zamzuri Mansor yang hadir menyerahkan sumbangan bernilai RM1,000 menerusi Econsave Pokok Sena Prihatin.
Sementara itu, Nurul Asyikin berkata, anaknya itu akan menjalani kimoterapi buat kali keempat dalam masa terdekat dan pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) pula akan dilakukan pada Oktober untuk melihat tahap kansernya.
"Syukur apabila dapat tahu Adam Zikri akan dapat pulang dalam tempoh terdekat ini. Kami juga gembira apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga tampil membantu meluluskan bantuan bulanan RM500 kepada Adam Zikri. Bolehlah digunakan untuk keperluan dan rawatannya selepas ini.
"Terima kasih kepada pihak-pihak lain termasuk Pasaraya Econsave yang menyumbang keperluan dapur dan elektrik, sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami," ujarnya.
Sementara itu, Zamzuri berkata, sumbangan tersebut adalah untuk membantu meringankan keluarga bayi berkenaan selepas beberapa bulan perlu berada di HSB.
Menurutnya, bapa kepada bayi berkenaan, Mohamad Zainal Mohd Khamis, 29, merupakan seorang tukang rumah yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan ibunya pula merupakan seorang suri rumah.
"Mereka mempunyai seorang lagi anak berusia empat tahun yang merupakan pesakit tiroid sejak lahir," ujarnya.
Pada 7 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan nasib pasangan suami isteri terbabit apabila anaknya menghidap penyakit kanser otak tahap keempat.
Muhammad Adam Zikri telah menjalani dua kali pembedahan dan kimoterapi selepas penyakitnya itu dikesan pada 29 Mac apabila mengalami demam yang panjang dan muntah.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga terbabit boleh menghubungi Nurul Asyikin di talian 017-4306631.