SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan kerajaan perlu mewujudkan jaminan bersifat jangka panjang untuk doktor kontrak terutama selepas tempoh lanjutan.
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, antara jaminan itu ialah lantikan tetap perlu dilaksanakan secepat mungkin untuk menampung keperluan kesihatan yang semakin meningkat.
Menurut beliau, tawaran kerajaan bagi empat tahun lanjutan berkemungkinan besar tidak mencukupi untuk latihan kepakaran.
"Tempoh minima untuk pelantikan tersebut perlu dipertimbangkan semula sehingga 10 tahun seperti yang disarankan oleh Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) pada Ahad,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Seramai 5,000 doktor kontrak dijangka akan menyertai protes di seluruh negara pada jam 11 pagi Isnin berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung lanjutan khidmat kontrak kumpulan itu tidak memenuhi tuntutan yang dibuat mereka.
Selain itu, Muhammad Faisal berkata, pelantikan bagi jawatan-jawatan kritikal seperti doktor gigi, ahli farmasi, jururawat dan pembantu pegawai perubatan juga harus diteliti serta ditambah baik dalam aspek kebajikan dan jaminan masa hadapan.
Jelasnya, perkembangan semasa semua kategori petugas barisan hadapan amatlah membimbangkan apabila pelbagai perkongsian di media sosial mengenai tekanan emosi serta suasana kerja yang terpaksa ditanggung.
"Ini termasuk laporan mengenai peletakan jawatan para petugas.
"Oleh itu, ABIM menegaskan kepentingan keputusan kerajaan yang adil dan saksama untuk petugas barisan hadapan bagi meningkatkan keberkesanan Malaysia memerangi pandemik,” ujarnya.