BAITULMAQDIS - Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza pada Ahad dengan menjadikan sebuah kawasan terbuka di utara wilayah itu dan tapak latihan ketenteraan milik pergerakan Hamas di selatan Khan Yunis sebagai sasaran.
Menurut sebuah kumpulan yang bersekutu dengan Hamas, al-Resalah, jet-jet Israel itu melakukan serangan pada waktu malam.
Menurut media tempatan, para pejuang Palestin melepaskan tembakan daripada mesingan ke arah jet-jet Israel di Genting Gaza dan berjaya menjatuhkan sebuah dron.
Namun, Pasukan Pertahanan Israel mendakwa ia tidak mengetahui tentang laporan sebuah dron telah ditembak jatuh.
Dalam pada itu, jurucakap Hamas, Hazem Qasim menyatakan serangan berkenaan adalah sebagai usaha tentera Israel memulihkan imejnya selepas ia goyang ekoran pertempuran yang berlaku antara pergerakan tersebut dengan rejim Zionis pada Mei lalu.
Serangan itu juga berlaku ketika negara haram Israel tersebut mengurangkan had jarak menangkap ikan yang boleh dilakukan penduduk Palestin iaitu dari 12 batu nautika ke tiga batu nautika ekoran kejadian belon api yang dilepaskan dari Gaza ke Israel.
Sementara itu, tentera Israel menggunakan alasan pelepasan belon-belon api dari Gaza ke Israel sebagai punca ia melancarkan serangan tersebut.
Setakat ini, tidak ada laporan tentang kecederaan atau kematian ekoran serangan tersebut. - Agensi