KUALA LUMPUR - Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang membuat penampilan pertama di Olimpik pada Ahad mengakui mengambil serius setiap perlawanan di Tokyo 2020.
Pemain berusia 23 tahun itu, yang mudah menjinakkan pemain Ukraine, Artem Pochtarov 21-5, 21-11 dalam hanya 25 minit pada aksi pertama Kumpulan M semalam, tidak mahu memberi ruang kepada lawan untuk bangkit memberi cabaran.
"Saya sememangnya teruja kerana ini Olimpik pertama saya dan setakat ini saya menikmatinya, tetapi banyak juga kesilapan saya lakukan pada perlawanan semalam. Tak kira lawan bagus atau tidak, saya mengambil serius dan beri 100 peratus.
"Hanya satu atau dua shot (pukulan) saya layan, pukulan lain saya terus matikan, saya berusaha untuk cepat habiskan perlawanan sebab ini Olimpik,” kata pemain ranking nombor lapan dunia itu menerusi sebuah video.
ARTIKEL BERKAITAN: Zii Jia cerahkan peluang ke suku akhir
Juara All England 2021 itu, seterusnya akan bertemu pemain Perancis, Brice Leverdez pada Rabu.
Walaupun rekod pertemuan antara dua pemain itu terikat satu kemenangan masing-masing kepada Zii Jia dan Leverdez, namun Zii Jia mengetahui kemampuan pemain Perancis itu, yang pernah mengejutkan Datuk Lee Chong Wei di suku akhir Terbuka Denmark 2016 dan pusingan pertama Kejohanan Dunia 2017.
"Sebelum bertolak ke Jepun, kita ada bincang banyak strategi untuk lawan Leverdez di sini. Untuk dua hari ini, saya akan berehat secukupnya dan membuat latihan ringan untuk bersedia menghadapinya,” katanya.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu, perlu mencatatkan kemenangan pada aksi itu untuk mara ke pusingan kalah mati. - Bernama