KLUANG - Seorang lelaki di Taman Murni, di sini, terkilan selepas mendakwa anak angkatnya yang kini berada di tingkatan tiga terpaksa diberhentikan sekolah disebabkan status bukan warganegara pada sijil kelahiran.
Wong Chin Chyuan, 52, berkata, sebelum ini anak angkatnya, David Wong Ka Hing, 15, tidak pernah menghadapi sebarang masalah dokumentasi di sekolah termasuk ketika belajar selama enam tahun di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa 2, di sini.
"Ketika saya mahu mendaftarkannya ke tingkatan tiga, sijil kelahiran yang sama digunakan namun David tidak dibenarkan menyambung persekolahannya kerana disebabkan statusnya sebagai bukan warganegara seperti dinyatakan di dalam sijil kelahirannya.
"Saya kemudian pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang dan mendapati saya perlu mencari ibu kandung anak angkat saya ini untuk membuat urusan penyerahan anak angkat secara sah bagi membolehkan saya diberikan hak sepenuhnya sebagai penjaga," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, proses penyerahan anak angkat itu nanti juga akan membolehkan David mendapat kebenaran untuk mempunyai hak sebagai rakyat negara ini selain membolehkannya meneruskan semula persekolahan selepas semua urusan ini selesai.
Katanya, David dilahirkan pada 17 Julai 2004 di sebuah hospital swasta di Johor Bahru oleh seorang wanita warganegara Indonesia yang dikenali sebagai Endon Fitri Eliana kepadanya pada 24 Julai tahun sama selepas selesai membuat pendaftaran kelahiran dengan menggunakan namanya sebagai ayah.
Bagaimanapun, pada 27 Mei tahun lalu, dia telah membuat pindaan sijil kelahiran anak angkatnya itu dengan membuang namanya sebagai bapa kandung menyebabkan kewarganegaraan David ditukar kepada bukan warganegara kerana ketiadaan dokumen lengkap berkaitan ibu dan bapa kandungnya.
"Saya harap wanita berkenaan yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah saya sekitar 15 tahun lalu dapat menemui saya dengan segera kerana saya tidak mahu David keciciran dalam persekolahan hingga menyebabkan masa hadapannya berhadapan kesukaran.
"Kali terakhir saya dapat tahu wanita ini tinggal di Jalan Upaya, Larkin Jaya di Johor Bahru dan saya telah beberapa kali ke rumah tersebut namun tidak berjaya menemui wanita berkenaan dan berkemungkinan dia sudah berpindah dan masih lagi berada di dalam negara ini," katanya.
Katanya, dia meminta wanita berkenaan atau orang ramai yang mengenali wanita tersebut untuk menghubunginya 016-7545518 bagi membantu menyelesaikan urusan penyerahan anak angkat secara sah.