MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet negara yang membawa cabaran pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Beliau berkata, kata-kata semangat yang diberikan kepada atlet kebangsaan sudah tentu akan menaikkan semangat mereka untuk menampilkan prestasi terbaik pada temasya sukan terbesar dunia itu.
"Saya mengajak rakyat Malaysia, dalam kita (atlet negara) menyertai Sukan Olimpik, pastinya akan ada cerita penuh duka dan suka, jangan kita ambil satu sudut sahaja bila mana mereka gagal kerana ramai lagi atlet kita masih meneruskan perjuangan.
"Mereka perlukan dukungan dan kata-kata semangat daripada semua rakyat Malaysia... jangan kita terhenti setakat ini (memberi sokongan),” katanya dalam klip video yang dikongsikan kepada media daripada pejabat Menteri Belia dan Sukan.
Reezal Merican tiba bersama-sama kumpulan terakhir lima atlet negara di Tokyo pada Ahad. Seramai 30 atlet Malaysia bertanding pada Sukan Olimpik Tokyo yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Pad Ahad, Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Lee Chong Wei, meluahkan rasa sedih dengan komen negatif yang dilemparkan netizen di media sosial terhadap pemain badminton negara.
Sebagai bekas rakan sepasukan, pemenang pingat perak perseorangan lelaki tiga kali pada temasya Sukan Olimpik itu, berkata beliau kecewa dengan komen tersebut selepas kekalahan pemain badminton negara dalam aksi peringkat kumpulan di Tokyo.
Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal layak ke suku akhir acara beregu campuran selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam perlawanan Kumpulan D di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo.
Selain Peng Soon-Liu Ying, pasangan beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean juga menghadapi nasib yang sama, selepas tewas perlawanan kedua Kumpulan A mereka ketika menentang pasangan nombor satu dunia dari Jepun, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima 21-17,15-21, 8-21.
Dalam pada itu, Reezal Merican memuji kesungguhan dipamerkan beberapa atlet Malaysia yang sudah menampilkan aksi masing-masing pada temasya sukan berkenaan.
Misalnya, beliau berkata, pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh mampu menampilkan aksi cemerlang apabila mencatat rekod peribadi terbaik pada pusingan penentuan ranking acara recurve individu wanita, Jumaat lepas, walaupun disahkan dapat bertanding di Sukan Olimpik Tokyo dalam tempoh singkat.
Syaqiera, 21, yang pertama kali beraksi di pentas Olimpik, beraksi cemerlang apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-43 dalam aksi penentuan ranking acara recurve individu, apabila dia mengutip 630 mata daripada 72 anak panah di Yumenoshima Park Archery Field.
Atlet berasal dari Segamat, Johor itu yang sebelum ini melakukan catatan peribadi terbaik 619, turut mengatasi catatan terbaik pemanah wanita negara di pentas Olimpik milik Mon Redee Sut Txi dengan 626 mata yang dilakukan ketika Olimpik Athens 2004.
Reezal Merican berkata, beliau juga menghargai usaha yang dipamerkan atlet gimnastik artistik lelaki, Jeremiah Loo Phay Xing dan perenang Welson Sim Wee Sheng serta pasangan Peng Soon-Liu Ying, yang sudah menampilkan aksi terbaik mereka pada temasya sukan itu.
"Jeremiah hanya ketahui slot ke Sukan Olimpik melalui ‘relocation’ pada Jun, dan dalam keadaan beliau tidak menjangka serta tiada penyertaan (pada sebarang kejohanan). Begitu juga Welson yang menjalani pembedahan pada akhir tahun lepas, dan menjalani proses recuperation (pemulihan)... dalam tempoh kurang enam bulan (sebagai persediaan) bukan satu benda kecil cabaran terpaksa dilalui.
"Tetapi kedua-dua atlet muda ini menunjukkan aksi masing-masing demi untuk membawa cabaran negara. Saya yakin kedua-dua atlet muda ini yang membuat penampilan pertama di Sukan Olimpik boleh melakukan lebih baik selepas ini dengan pengalaman yang ditimba di sini,” katanya.
Reezal Merican mengakui bahawa Peng Soon-Liu Ying sememangnya berdepan kesukaran apabila berdepan pasangan Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich, berdasarkan prestasi terbaik beregu Jerman itu ketika menentang gandingan dari China, Wang Yilyu-Huang Dong Ping.
Peng Soon-Liu Ying akan menamatkan cabaran mereka di Olimpik dengan bertemu pasangan nombor tiga dunia, Wang Yilyu-Huang Dong Ping pada Isnin.
Selepas tewas pada perlawanan pertama kepada pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet 18-21, 21-10, 16-21 dua hari lepas, Peng Soon-Liu Ying yang berada di ranking ketujuh dunia tewas kepada Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich 12-21, 15-21 pada Isnin. - Bernama