MELAKA - Seramai 50 doktor berstatus kontrak di sekitar negeri ini menyertai perarakan protes secara aman di pekarangan Hospital Melaka, di sini pada Isnin.
Perarakan protes hartal doktor kontrak itu bermula kira-kira jam 11 pagi disertai doktor pelbagai bangsa dengan memakai pakaian berwarna hitam sebagai tanda bersolidariti.
Seorang doktor yang ditemui selepas protes itu berkata, mereka yang terlibat tidak bertugas pada waktu itu dan berhimpun bagi meluahkan apa yang terpendam selama ini sekali gus mengharapkan pihak atasan dapat menyelesaikan segera isu doktor kontrak.
Menurutnya, biarpun telah bertugas sebagai doktor sejak empat tahun lalu namun sekiranya masih berstatus kontrak, sukar bagi mereka untuk melangkah ke peringkat seterusnya seperti doktor pakar dan sebagainya.
"Kami bersolidariti ini tanpa melanggar undang-undang dan macam saya sendiri tidak bertugas pada hari ini kerana memang bercuti, jadi saya datang bersama rakan lain untuk perarakan protes ini.
"Harap adanya penyelesaian jangka masa panjang bagi membolehkan kami diserap menjadi kakitangan tetap," katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati ada di antara mereka memegang plakat memaparkan perkataan '#Hkontrak', 'saya doktor kontrak' dan sebagainya.
Difahamkan mereka yang terlibat dalam protes ini termasuk yang bertugas di wad kecemasan, wad spara kritikal dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).