Doktor kontrak mogok, tuntut dua perkara

Iklan
Doktor kontrak yang turut serta dalam protes di HKL.

KUALA LUMPUR - Kumpulan doktor kontrak di hospital-hospital kerajaan yang mengadakan protes di seluruh negara pagi ini bertujuan menggesa kerajaan melunaskan dua perkara iaitu menerima doktor kontrak sebagai pegawai tetap dan diberi peluang melanjutkan pelajaran.

Wakil doktor kontrak Hospital Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Dr Muhammad berkata, tindakan mereka bukan berniat berdemonstrasi dan penentangan sebaliknya memohon kerajaan memberi hak sama rata dengan pegawai berstatus tetap.

Iklan
Iklan

"Kami hanya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memohon kerajaan memberi hak sama rata kepada kami sama seperti pegawai berstatus tetap.

"Kami ingin diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dan diserap sebagai status pegawai kerajaan tetap,” katanya semasa sidang akhbar perhimpunan Hartal Doktor Kontrak di sini pada Isnin.

Iklan

Seramai 50 doktor kontrak turut serta dalam gerakan yang dilakukan di Hospital Kuala Lumpur.

Dr Muhammad (tengah) semasa sidang akhbar bersama pemberita di HKL.

Pada 24 Julai, wakil Kumpulan Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Umar Baraka berkata, seramai 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak seluruh negara dijangka menyertai protes.

Iklan

Beliau berkata, protes tersebut akan diteruskan kerana pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung lanjutan khidmat kontrak kumpulan itu tidak memenuhi tuntutan yang dibuat mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai Perubatan, Pergigian, Farmasi ditawar lantikan kontrak 2 tahun

Menurut Dr Muhammad, pengumuman itu tidak mempunyai perincian daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Perdana Menteri sendiri.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri atas tawaran ini. Kami masih menantikan perincian dan jawapan rasmi oleh pihak KKM," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad berkata, gesaan itu dibuat kerana kebanyakan mereka menjaga pesakit Covid-19 bermula tahun lepas.

Jelasnya, setakat ini, seramai 150 pegawai perubatan telah berhenti akibat daripada penat dengan sistem yang sedia ada.

"Hari ini genap sebulan kami cadangkan kepada kerajaan berkaitan perkara ini. Kami meminta kerajaan menyelesaikannya dalam masa sebulan tetapi masih tidak jelas, jadi kami teruskan gerakan ini.

"Kami memohon kerajaan mendengar suara kami supaya pegawai perubatan kontrak dapat bertugas secara tetap dan pihak kami dapat memberikan yang terbaik dalam menyelesaikan pandemik di negara kita," katanya.

Bagaimanapun, perhimpunan itu berakhir pada jam 11.22 pagi selepas dileraikan pegawai Polis Diraja Malaysia, Dang Wangi, Kuala Lumpur.