Enam bulan sunyi, Dewan Rakyat kembali kecoh

Iklan
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 kecoh apabila blok pembangkang meminta penjelasan Azhar Azizan.

KUALA LUMPUR - Selepas lebih enam bulan 'sunyi', Dewan Rakyat kembali 'kecoh' sebaik sahaja Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 membuka tirai pada Isnin.

Suasana hangat bermula sebaik sahaja Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selesai membuat pemakluman.

Iklan
Iklan

Kekecohan berlaku apabila blok pembangkang meminta penjelasan Azhar Azizan mengenai ketiadaan sesi perbahasan, usul dan undian pada sidang khas tersebut.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Sabah) bangkit bertanya sama ada sidang khas terbabit selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

"Saya faham dan tahu di Parlimen tentang darurat. Saya sudah tujuh penggal di Parlimen ini, bukan satu penggal.

"Saya hendak tahu bahawa adakah ini bercanggah dengan Perlembangaan Persekutuan," katanya.

Iklan

Turut bangkit mencelah, KS Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang mempersoal sama ada Azhar Azizan sekadar 'pak turut' kepada kerajaan.

Katanya, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tidak membawa isu Ordinan dan Proklamasi Darurat dalam Dewan Rakyat.

Keadaan bertambah gamat apabila beberapa wakil pembangkang turut bangkit mempersoalkan perkara sama.

Suasana kecoh itu berlanjutan beberapa minit sehingga memaksa Azhar Azizan mengarahkan semua ahli Parlimen duduk dan berhenti membuat bising.

"Oleh kerana Yang Berhormat semua tak nak dengar apa yang saya nak cakap, saya nak beritahu bahawa saya tidak bersetuju dengan apa Yang Berhormat semua cakap tadi," katanya.