SELAYANG - Sudah sampai masa Sekatan Pergerakan Penuh perlu dilaksanakan di Selangor susulan lonjakan kes Covid-19 mencecah lebih 7,000 pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, kerajaan pusat dan negeri diminta tidak bermain politik berkenaan isu Covid-19 sebaliknya mengutamakan kesihatan rakyat.
"Kaedah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar ketika ini tidak membantu menurunkan kes harian Covid-19 di Selangor apabila sektor kilang masih dibenarkan beroperasi.
"Selangor negeri maju, tempat tumpuan ekonomi yang terdapat pusat perindustrian, pelabuhan, lapangan terbang dan kilang yang menyumbang kes Covid-19.
"Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari beberapa kali meminta kilang ditutup dan dilaksanakan PKP penuh bagi mengawal penularan Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau ditemui di Program Vaksinasi Selangor (Selvax) DUN Taman Templer di Kompleks Sri Siantan.
Katanya, langkah PKP penuh itu dapat mengawal penularan Covid-19 dan memberi ruang kepada petugas kesihatan menstabilkan fasiliti kesihatan di hospital.
"Kita dapat lihat kes menurun dengan ketara ketika pelaksanaan PKP lebih 21 hari tahun lalu. Namun hari ini walaupun kerajaan laksanakan ekatan Pergerakan Penuh, PKP dan PKP Diperketatkan serta darurat tetapi kes masih tinggi kerana kilang masih dibuka.
"Pada masa sama kes Selangor tinggi tetapi proses vaksinasi perlahan. Cuma baru-baru ini mulai laju selepas banyak pihak bersuara. Saya harap isu ini diberikan perhatian," katanya.
Pada Mei lalu, Pengerusi Pasukan Khas Covid-19 Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Selangor tidak mahu melaksanakan PKP menyeluruh di negeri itu kerana kadar kebolehjangkitan masih rendah.
Mengulas perkara itu, Mohd Sany berkata, kenyataan itu dikeluarkan ketika Covid-19 di Selangor masih terkawal namun tidak relevan dengan situasi dihadapi sekarang.
"Sudah tiba masa Selangor adakan PKP penuh terutama lokaliti atau daerah mencatatkan kes positif dan jumlah kematian tinggi.
"Jika tak ambil langkah tersebut, sampai bila kita akan berkurung di rumah? Dah buat darurat pun kes masih tinggi.
"Apabila terlalu lama duduk di rumah, psikologi rakyat juga terjejas terutama mereka bergaji hari kerana tidak boleh keluar untuk mencari 'makan' (rezeki)," katanya.