KUALA LUMPUR - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluatkan enam Notis Tawaran Kompaun (NTK) dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Taman Perindustrian Seri Kembangan.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, seramai 13 anggota yang terdiri daripada sembilan anggota MBSJ dan empat anggota Balai Polis Seri Serdang terlibat dalam operasi berkenaan.
Menurutnya, dua premis kilang, 20 premis perniagaan dan gerai diperiksa di kawasan perindustrian tersebut selain MBSJ mendapati kebanyakan kilang serta premis perniagaan mematuhi mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa satu (1).
Bagaimanapun beliau berkata, terdapat juga premis kilang yang dikesan melakukan kesalahan iaitu tidak memperbaharui lesen perniagaan yang sah dari MBSJ dan menerima enam NTK.
"Enam NTK itu membabitkan tiga notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007.
"Tiga lagi notis masing masing di bawah Undang- Undang Kecil 3, Undang- Undang Kecil Iklan MPSJ 2007, Sek 46 (1) (a) Akta 133 Akta Jalan, Parit Dan Bangunan (AJPDB) 1974 dan Sek 46 (1) (d) Akta 133 Akta Jalan, Parit Dan Bangunan (AJPDB) 1974," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, MBSJ mengingatkan orang ramai termasuk pengusaha kilang-kilang dan pemilik premis perniagaan untuk terus mematuhi peraturan dan juga SOP bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Tambah Azfarizal, pemantauan akan terus dilaksanakan dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan terhadap SOP ditetapkan dalam usaha pencegahan dan pengawalan pandemik Covid-19.