KUALA LUMPUR - Wakil rakyat pembangkang bengang dan berang apabila sesi penggulungan perbahasan sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin tidak dilakukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Situasi itu mengakibatkan pertikaman lidah antara blok pembangkang dan kerajaan berlanjutan sehingga sidang pada hari pertama ditangguhkan pada jam 5.45 petang.
Ketegangan bermula apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan ketidakhadiran Muhyiddin dalam sesi penggulungan berkenaan.
Tindakan itu selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan bahawa sesi penggulungan akan dilakukan Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Majlis Pemulihan Negara (MPN), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) turut bangun memprotes kerana dakwanya perbahasan itu sepatutnya dijawab oleh Muhyiddin.
"Yang dibangkitkan ini adalah isu-isu (besar) termasuk Covid dan pemulihan yang harus dijawab Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Timbalan Perdana Menteri.
"Ini soal prinsip menghormati Parlimen, saya minta Speaker campur tangan dalam hal ini," katanya.
Anwar pada masa sama menyifatkan perkara itu sebagai perbuatan 'bodoh' kerana dijawab oleh Menteri Kewangan yang didakwanya tidak kompeten untuk menjawab isu itu.
"Kalau tak boleh jawab petang ini, jawab pagi esok," katanya.
Anwar menegaskan, belum pernah dalam sejarah Dewan Rakyat sejak merdeka dan Parlimen diadakan, soalan substantif kepada Perdana Menteri, soal perlembagaan dan darurat dijawab oleh Menteri Kewangan.
"Tuan Speaker tolong jangan izinkan Parlimen ini dipermainkan. Speaker kena adil," katanya.
Ekoran keadaan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bangun mempertahankan tindakan pihak kerajaan itu.
"Tajuk yang dibahaskan adalah berkaitan pemulihan negara bukan soal darurat jadi menteri kewangan adalah menteri penyelaras MPN sebab itu beliau yang jawab," katanya.