IPOH - Jalinan Bersatu Sahabat Perak (Jabat) akan menganjurkan Himpunan Cinta Rasul pada 28 Februari ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, di sini.
Presidennya, Amiruddin Mohd Daud berkata, penganjuran himpunan tersebut bertujuan untuk mengingatkan umat Islam tentang pentingnya mempertahankan Rasulullah SAW daripada dihina pihak tertentu.
Menurutnya, orang Islam perlu diberikan kesedaran bahawa tindakan menghina Nabi Muhammad SAW itu bukan perkara kecil.
"Himpunan yang kita akan adakan kita bukan bermotifkan politik sebaliknya untuk memperingati sejarah dan perjuangan Baginda dalam menegakkan Islam.
"Kita akan adakan himpunan ini secara aman dimulai dengan solat Maghrib secara berjemaah diikuti bacaan surah Yasin dan tazkirah oleh Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim," katanya kepada Sinar Harian.
Amiruddin berkata, selain itu, solat sunat hajat turut diadakan selepas solat Isyak di bulatan tersebut.
Katanya, dianggarkan seramai 10,000 orang yang akan hadir bersama-sama pada himpunan tersebut.
Dalam pada itu, orang ramai yang hadir diingatkan membawa bersama sejadah, buku surah Yasin dan plastik sampah pada malam itu.
"Orang ramai tak perlu bimbang kerana himpunan ini akan diadakan secara aman tanpa sebarang provokasi kerana pengisiannya lebih ke arah melakukan ibadah.
"Jadi saya mengalu-alukan kehadiran umat Islam di negeri ini untuk bersama-sama hadir menghayati dan memperingati sirah serta peribadi Rasulullah SAW," katanya.