MALAYSIA dilihat mempunyai pelan pembangunan keupayaan ketiga-tiga cabang angkatan tenteranya yang dinamik berbanding negara-negara serantau pada era tahun 1970-an, 1980-an dan awal 1990-an.
Perolehan aset berkemampuan tinggi seperti platform tentera laut dan udara dicemburui banyak pihak.
Perolehan seperti peluru berpandu Exocet pada kapal ronda, pesawat MiG-29 dan Sukhoi 30MKM, selain kereta kebal PT91M dianggap drastik dan mengangkat martabat ATM sebagai benteng pertahanan negara yang kredibel.
Agak menggusarkan apabila sejak kebelakangan ini prestasi pembangunan aset ATM seakan mengalami era kejumudan yang agak menonjol.
Perolehan demi perolehan terutama untuk mendapatkan aset dianggap strategik kepada kemampuan pertahanan negara menghadapi masalah.
Pelbagai sebab diutarakan oleh pihak bertanggungjawab termasuklah kelewatan jadual, tidak menurut spesifikasi, masalah kewangan, politik dan sebagainya yang akhirnya mengakibatkan penundaan atau lebih malang pembatalan perolehan.
Mungkin telah tiba masanya pemikir strategi dalam ketiga-tiga cabang ATM melakukan muhasabah dan menilai kembali doktrin perang yang menjadi pegangan serta panduan kepada bagaimana mereka bakal bertindak balas apabila diancam konflik ketenteraan.
Dalam tempoh beberapa dekad ini, salah satu ciri atau doktrin perang yang semakin menonjol adalah doktrin perang asimetrik.
Ia merujuk kepada satu pihak yang berkonflik apabila ia faham bahawa ia tidak mampu berhadapan musuhnya yang jauh lebih besar, memiliki aset berteknologi tinggi atau lebih berkemampuan dalam perang konvensional.
Jika konflik terus dilaksanakan, pihak yang lemah pasti tewas.
Untuk mencapai kemenangan atau setidaknya membawa musuh ke meja rundingan, pihak yang serba kekurangan akan menggunakan faktor kekuatan khusus yang wujud pada mereka dan menyasarkan titik kelemahan musuh yang diketahui untuk dieksploitasi secara mendalam.
Konflik di Afghanistan antara puak Taliban dan Amerika Syarikat serta NATO, konflik antara Yaman dan gabungan Arab Saudi serta negara Teluk dan terkini konflik antara kuasa penjajah Yahudi dan Hamas di Gaza adalah contoh terbaik bagaimana pihak dianggap ‘lemah’ akhirnya berjaya memaksa kekalahan pihak yang lebih kuat atau setidaknya menghentikan serangan.
Kekurangan aset canggih berteknologi tinggi berjaya diimbangkan dengan doktrin, strategi dan taktik di luar kotak pemikiran ketenteraan tradisional yang mungkin disuburkan di maktab-maktab tentera terkemuka Barat seperti Sandhurst, West Point atau Saint-Cyr.
Pergantungan keterlaluan untuk mendapatkan kelengkapan dan platform terkini serta tercanggih juga kerap memerangkap negara untuk membuat pembayaran ‘termahal’.
Walau diakui memiliki aset canggih dapat membantu negara mencapai kejayaan dalam peperangan, ia bukanlah jaminan kekal.
Pelan tindakan atau doktrin asimetrik mestilah diselaraskan dengan pelan pembangunan perang konvensional negara.
Adalah kurang bernas jika ATM memberi tumpuan terhadap satu doktrin atau konsep peperangan hanya kerana ATM telah berjaya dibangunkan sebagai sebuah angkatan perang konvensional kerana memiliki aset dan kelengkapan moden.
Dalam konflik di Gaza, Hamas telah menggunakan konsep perang asimetrik dengan bijak. Ia menggunakan dua kekuatan iaitu sistem roketnya dan media global.
Serangan roket jarak dekat Hamas berjaya memberi impak besar dalam konflik walaupun penjajah Yahudi memiliki iaitu Iron Dome, iaitu sistem pemintas roket tercanggih dunia. Hamas mampu melancar beribu-ribu roket yang dihasilkan dengan kos antara USD300 ke USD800 bagi sebuah roket.
Israel terpaksa menanggung kos antara USD50,000 hingga USD100,000 bagi setiap satu roket yang dilancar untuk pintasan.
Manipulasi bijak Hamas terhadap media dengan setiap malam kaca TV global mempamerkan kemusnahan dan kematian orang awam akibat pengeboman Yahudi berjaya beri tekanan politik kepada kerajaan penjajah dan sekutu kuatnya Amerika untuk mengambil jalan damai walaupun untuk sementara waktu.
Apakah dengan dakapan doktrin perang konvensional, apabila negara dilanda krisis kewangan dan politik tidak menentu serta berhadapan kegagalan menyelenggara kelengkapan sedia ada dan tidak mampu memperoleh yang baharu, barulah terkial-kial mencari doktrin perang baharu?
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.