LAMBAKAN durian di Jeli dan Tanah Merah, Kelantan menyebabkan harga raja buah itu dijual 50 sen hingga RM1.50 sekilogram untuk harga borong.
Bagi harga runcit pula, pelanggan boleh menikmatinya dengan hanya perlu membayar antara RM2 hingga RM2.50 sekilogram.
Akibat pandemik Covid-19, ramai peniaga dan pemborong mengeluh panjang.
Walaupun sudah jual dengan harga lelong tetapi tidak ramai pelanggan yang datang membeli.
Berbeza pula keadaan di Lembah Klang. Harga durian masih mahal.
Tidak kiralah durian kampung, D24, musang king atau pelbagai lagi jenis nama, masih ada peniaga yang menjual dengan ‘harga kayangan’.
Durian kampung misalnya, masih dijual dengan harga RM12 hingga RM16 sekilogram.
Kalau jenis ‘kahwin campur’, boleh cecah sampai RM20 hingga RM30 sekilogram.
Bayangkan, kalau nak rasa D24 atau musang king, golongan B40 atau M40 hanya mampu menelan air liur, apatah lagi ekonomi sedang tenat ketika ini.
Bagi warga Lembah Klang, kalau nak beli dengan harga lelong pun ada tapi kena beringatlah.
Harga lelong RM10 sekilogram tapi bila bawa balik rumah, dalam 10 biji itu, ada lima biji yang berbau masam!
Kita semua berada dalam keadaan sukar. Nak cari duit bukan senang. Peniaga durian janganlah terlalu nak untung banyak sangat.
Bersimpatilah kepada mereka yang hendak merasa.
Peniaga-peniaga yang tamak nak untung besar itu perlu sedar bahawa suatu hari nanti nasib mereka mungkin akan sama seperti peniaga di Jeli dan Tanah Merah.
Jadi, apalah salahnya jual secara longgok. Letak harga RM50 hingga RM70 (mengikut gred) untuk satu beg plastik besar. Bukan rugi pun!
Kini barulah sedar, durian tidak sepatutnya dijual dengan harga yang begitu mahal.
Kenapa peniaga di Lembah Klang begitu kejam sampai letak harga berpuluh-puluh ringgit sekilogram?