'PERANG' membendung pandemik Covid-19 semakin sengit dengan peningkatan mendadak kes di seluruh dunia akibat penyebaran varian baharu yang merebak pantas dalam hanya 15 saat!
Akibatnya, Indonesia merekodkan jangkitan harian mencecah 56,000 kes, mengambil alih kedudukan India sebagai 'pusat wabak’ baharu Asia.
Harapan penyelesaian terletak pada vaksinasi secara meluas dan pantas sebagai jalan keluar utama, bukan lagi menerusi sekatan pergerakan serta pengisytiharan darurat.
Jutaan manusia di seluruh dunia telah menerima suntikan dalam usaha mengurangkan bilangan jangkitan, mengelak kesan jangkitan yang serius atau kematian.
Penerima vaksin kurang berisiko mendapat gejala teruk kategori tiga, empat dan lima sehingga memerlukan rawatan di hospital.
Malah, negara yang telah melancarkan program imunisasi Covid-19 mula menunjukkan pemulihan positif dalam ekonomi.
Negara seperti Israel, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang mencapai kadar populasi dengan vaksinasi lengkap lebih 50 peratus menunjukkan penurunan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU).
Justeru, program vaksinasi di setiap negara tidak boleh gagal dan perlu mencapai objektif mewujudkan imuniti kelompok.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sebanyak 11 bilion dos diperlukan untuk memvaksinasi 70 peratus penduduk dunia bagi mengakhiri wabak Covid-19.
Setiap orang tanpa mengira status dan negara perlu mempunyai akses kepada vaksin, ujian, rawatan dan sokongan Covid-19.
Perkembangan terkini menyaksikan semakin banyak negara termasuk Malaysia memberi fokus kepada pemberian vaksin untuk kanak-kanak seawal usia 12 tahun bagi mendapatkan imuniti kelompok sebagai langkah mengawal penularan Covid-19. Ia disifatkan 'jalan keluar’ terbaik untuk membolehkan pelajar segera kembali ke sekolah bagi sesi pembelajaran bersemuka.
Namun, akses yang tidak seimbang dalam pemberian vaksin di seluruh dunia dan antara negara telah meluaskan lagi jurang vaksinasi global, seterusnya memberikan ancaman kerana apabila virus bermutasi, ia lebih mudah menular dan menyebabkan peningkatan ketara kadar kematian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengecam tindakan kebanyakan negara berpendapatan tinggi memonopoli vaksin Covid-19, sekali gus menghalang negara miskin mendapatkannya.
Pengedaran vaksin yang tidak adil bukan sekadar menimbulkan kemarahan moral tetapi juga mempengaruhi kesan kepada ekonomi dan epidemiologi.
Adil
Hakikatnya, dalam menangani isu ini, dunia memerlukan Rancangan Vaksinasi Global untuk sekurang-kurangnya boleh menggandakan pengeluaran vaksin, memastikan pengedaran yang adil melalui Covax, menyelaraskan pelaksanaan dan pembiayaan serta menyokong program imunisasi nasional.
Cabaran lain terhadap vaksin adalah kehadiran pelbagai varian baharu yang ‘ganas’ seperti Delta.
WHO memberi amaran wabak Covid-19 menular lebih pantas daripada usaha vaksinasi ketika ini.
Varian Delta disifatkan lebih ekstrem dan sentiasa bermutasi dengan kadar penularan pantas sehingga menyebabkan peningkatan kes di kebanyakan negara, manakala varian Lambda telah menular ke 27 negara, sekali gus menimbulkan kebimbangan ketika dunia berharap untuk kembali kepada kehidupan normal.
Penularan varian Delta hanya boleh dikawal sekiranya dua dos vaksin Covid-19 dapat dilengkapkan segera bagi meningkatkan imuniti penerima vaksin.
Cabaran lain adalah persaingan antara syarikat pengeluar vaksin yang ‘menjaja’ keberkesanan vaksin masing-masing.
WHO menetapkan syarat minimum efikasi pada tahap 50 peratus sebelum sesuatu vaksin diluluskan penggunaannya.
Pada tanggapan awam lebih tinggi peratus efikasi, maka lebih baik vaksin itu.
Atas perbandingan itulah mungkin punca utama polemik pemilihan vaksin, sedangkan asas perbandingan itu tidak tepat.
Jadi, mengapa berlaku polemik memilih vaksin apabila data yang ada membuktikan semua vaksin diguna pakai dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sama ada Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.
Hentikan sifat stereotaip dan bias terhadap jenama vaksin.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia