SHAH ALAM - Syarikat Formulab Empire Sdn Bhd menghasilkan produk kesihatan terbaharu mereka iaitu Seven Berries yang menggabungkan tujuh jenis buah beri.
Pengasasnya, Bolyan Ahmad berkata, tujuh jenis buah beri yang digunakan dalam produk itu ialah goji, strawberi, kranberi, ‘gooseberry’, ‘elderberry’, beri hitam dan raspberi.
Menurutnya, selain daripada membantu melangsingkan badan, kandungan antioksidan dan vitamin C daripada buah-buah tersebut juga mampu meningkatkan imuniti badan dan melancarkan proses pencernaan.
"Saya juga menggunakan ‘elderberry’ yang kaya dengan vitamin C untuk menguatkan sistem imunisasi khususnya dalam keadaan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara pada masa ini.
"Penggunaan ‘gooseberry’ dalam produk ini membantu membersihkan usus, mengawal nafsu makan serta meningkatkan metabolisme badan.
"Setiap buah-buahan tersebut mempunyai fungsi tersendiri dan kaya dengan antioksidan yang baik untuk kulit, rambut dan kuku,” katanya dalam sesi temubual bersama Sinar Harian pada Jumaat.
Bolyan berkata, idea penghasilan produk Seven Berries muncul apabila dia menghidap pelbagai jenis penyakit seperti penyakit batu karang dan masalah pernafasan akibat kegemukan yang dialaminya pada dua tahun lalu.
"Kehidupan saya berubah sepenuhnya antaranya stamina menurun, kerap sakit kepala dan seluruh badan,” katanya.
Tambahnya, dia juga pernah dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan bagi membuang batu karang dalam tubuhnya sebanyak tiga kali yang menelan kos perubatan sebanyak RM60,000.
"Jika kita tidak menjaga kesihatan mulai sekarang, mungkin akan timbul satu penyakit lain daripada penyakit sedia ada seperti lemak berlebihan dalam badan yang boleh menyumbat saluran jantung dan masalah-masalah lain.
"Sejak itu, saya cuba mengawal pemakanan sihat kerana usia yang menjangkau 30-an dan ketika itu, tercetus idea untuk menghasilkan produk yang bukan sahaja boleh menguruskan badan, malah boleh membantu kembalikan kesihatan tubuh badan,” katanya.
Diiktiraf KKM
Menurut Bolyan, produk Seven Berries sesuai untuk diamalkan oleh semua peringkat usia kecuali individu yang mempunyai penyakit kronik dan masih dalam rawatan, ibu mengandung dan ibu menyusu.
Bolyan berkata, produk tersebut juga boleh diamalkan pada bila-bila masa, namun dia menyarankan pengambilan produk tersebut 15 hingga 30 minit sebelum sarapan pagi ketika perut kosong atau sebelum tidur untuk kesan yang lebih baik.
"Bahan-bahan yang digunakan dalam Seven Berries adalah organik dan tanpa bahan terlarang serta diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Mengulas lanjut mengenai strategi pemasaran Seven Berries, Bolyan yakin mampu menjual produk tersebut di seluruh Malaysia dengan sasaran sebanyak dua juta unit produk Seven Berries setahun.
"Keyakinan tersebut didorong oleh penawaran harga yang kompetitif dalam pasaran dan formulasi unik yang sukar didapati daripada mana-mana produk kesihatan dalam pasaran tempatan,” katanya.
Selain itu, Bolyan juga mensasarkan untuk mengumpulkan ejen dan stokis seramai 5,000 hingga 10,000 orang menjelang bulan Mei atau Jun tahun hadapan untuk menjual produk tersebut.
Bolyan turut menggunakan pendekatan jualan secara dalam talian menerusi promosi di platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.
"Buat masa ini, kami sedang membangunkan sistem ejen dan stokis di seluruh Malaysia.
"Sejak tahun lalu hingga kini, seramai 1,500 orang ejen dari seluruh Malaysia menyertai kami untuk menjual produk tersebut.
"Setakat ini, kami tidak menjual secara berdepan atau di kedai-kedai yang menjual produk kesihatan, sebaliknya kami merancang untuk melantik artis tempatan sebagai duta produk kami,” katanya.
Promosi
Dalam pada itu, Bolyan bercita-cita untuk memastikan produknya dikenali ramai dengan melakukan promosi menerusi media elektronik kerana kaedah tersebut mampu memperluaskan jenama produknya dalam kalangan masyarakat tempatan.
Sama seperti mana-mana pengasas lain, Bolyan juga mempunyai rancangan untuk menghasilkan produk kesihatan lain setelah produknya kukuh dalam pasaran dalam tempoh dua tahun.
"Sebelum ini, kami pernah mengeluarkan beberapa produk kecantikan diri tetapi ia tidak mendapat sambutan dalam pasaran tempatan,” katanya.
Bagaimanapun, setelah Bolyan menghasilkan produk kesihatan, ia mendapat sambutan yang memberansangkan.
"Saya merancang untuk mengeluarkan produk lain selepas dua tahun produk Seven Berries berada dalam pasaran yang stabil dan dikenali.
"Saya berharap produk ini dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia dan menjana pendapatan sampingan mereka yang menyertai kami,” katanya.