Ahli perniagaan tidak mengaku tipu Fizz Fairuz

Iklan
Fizz Fairuz

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas tuduhan menipu pelakon, Datuk Fizz Fairuz berhubung tender pembersihan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bernilai RM1.81 juta, Jun lalu.

Khairul Khuzaini Zamsani, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa menipu Fizz Fairuz atau nama sebenar Mohd Fairus Zainal Abdidin sehingga mempercayai bahawa tertuduh memiliki projek pembersihan daripada DBKL bernilai RM1.81 juta.

Tertuduh dengan curangnya, mendorong Fizz Fairuz memasukkan wang RM18,100 ke akaun Maybank milik tertuduh yang mana dia tidak akan bertindak sedemikian sekiranya tidak diperdaya.

Iklan

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Dutamas Raya Mont Kiara di sini pada 6 Jun lalu.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Khairul Mokhtar merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan perlu menanggung keluarga.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Tawfiq membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak 8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula kes.

Pada 22 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan pelakon, Datuk Mohd Fairus Zainal Abdidin atau lebih dikenali sebagai Fizz Fairuz membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul selepas mendakwa dirinya ditipu oleh seorang individu berusia 26 tahun yang mengaku berpangkat Datuk Seri.

ARTIKEL BERKAITAN: Fizz Fairuz rugi RM18,000 ditipu urusan tender