KUALA LUMPUR - Status pembatalan Ordinan Darurat yang dibangkitkan ahli-ahli Parlimen hanya akan dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin.
Demikian keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meskipun bertalu-talu dihujani desakan daripada ahli Parlimen terutama pembangkang yang mahukan kepastian sama ada pembatalan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau sebaliknya.
Azhar semasa mengendalikan sidang sesi pagi itu berkata, keputusan berkenaan dibuat beliau seperti diperuntukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).
Menurut beliau, ia bagi memastikan setiap pembahas dan prosedur AUM dilaksanakan mengikut perancangan serta masa tertentu.
"Saya sudah beritahu semalam dan saya juga kemudian beritahu Menteri Undang-Undang yang beliau perlu menjawab semua soalan yang dibangkitkan Yang Berhormat semua mengenai apa yang dikatakan oleh beliau semalam.
"Beliau (Takiyuddin) perlu beri penerangan itu dan prosedur sama ada perkenan Agong atau belum atau sebagainya... marilah kita tunggu Isnin," katanya.
Takiyuddin turut meminta semua ahli Parlimen menghormati keputusan yang dibuat Azhar supaya isu itu dijawab pada Isnin depan.
"Jadi dengan itu saya dengan rendah diri meminta supaya saya diberi peluang untuk memberi semua penjelasan mengenai pelaksanaan darurat pada Isnin ini.
"Itu saya minta berdasarkan petua (ketetapan) yang dibuat Yang Dipertua Dewan," katanya.
Isu berhubung pembatalan Ordinan Darurat kembali hangat dibangkitkan pada hari kedua sidang khas Dewan Rakyat pada Selasa apabila ahli Parlimen di blok pembangkang tidak henti-henti mengasak Takiyuddin supaya memberikan penjelasan segera tanpa menunggu Isnin memandangkan ia melibatkan kepentingan awam.
Pada Isnin, kerajaan memutuskan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila darurat tamat pada 1 Ogos ini.
Takiyuddin berkata, kerajaan juga bersetuju untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dibuat semasa Proklamasi Darurat sebelum ini.