PUTRAJAYA - Ekonomi hidrogen berpotensi besar menyumbang kepada sasaran pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) untuk negara, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
"Malaysia sebagai negara ahli kepada Perjanjian Paris komited terhadap sasaran negara dalam mengurangkan pelepasan karbon," katanya yang berpendapat ekonomi hidrogen dapat membantu negara mencapai sasaran pengurangan intensiti pelepasan GHG berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030.
Ekonomi hidrogen merupakan cabang perniagaan dan pelaburan baharu yang memfokuskan kepada penggunaan bahan api alternatif iaitu hidrogen bagi menggantikan bahan api konvensional seperti diesel dan petrol yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar.
Merasmikan acara ‘International Hydrogen Economy Forum and Strategic Lab’ secara maya pada Selasa, Tuan Ibrahim berkata, forum itu dianjurkan untuk mengenal pasti inisiatif teknologi hidrogen yang dilaksanakan oleh organisasi tempatan dan antarabangsa bagi memacu ekonomi rendah karbon seterusnya mewujudkan potensi pelaburan baharu dalam ekonomi hijau.
Beliau berkata, pembangunan ekonomi hidrogen dapat memacu serta menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara pada masa hadapan dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) secara holistik.
"Perancangan bagi melaksanakan ekonomi hidrogen dalam konteks tempatan perlu dilakukan secara teliti dan seiring dengan situasi ekonomi semasa," katanya.
Menurutnya, hidrogen adalah antara sumber tenaga alternatif yang berpotensi untuk sektor tenaga, industri dan pengangkutan ke arah peralihan kepada ekonomi hijau dan rendah karbon di peringkat nasional dan global.
Beliau memetik kajian oleh Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) bertajuk ‘Study on Demand and Supply Potential of Hydrogen Energy in East Asia’ pada 2018, yang mana penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga kepada ketiga-tiga sektor tersebut berpotensi mengurangkan pelepasan GHG sehingga 20.6 juta tan karbon dioksida menjelang tahun 2040.
Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya mengalu-alukan sebarang kerjasama strategik, pelaburan dan jaringan kerjasama dengan organisasi awam dan swasta dalam bidang kajian dasar dan regulatori, kemudahan bersepadu, logistik dan infrastruktur, demonstrasi teknologi dan inovasi komponen tempatan yang akan memberi nilai tambah kepada ekonomi hidrogen.
Pada majlis itu juga, Tuan Ibrahim dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi menyaksikan pertukaran dokumen memorandum kerjasama antara Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dan beberapa rakan strategik antaranya UMW Innovation and R&D Centre Sdn Bhd, Mitsui & Co Ltd; Sarawak Economic Development Cooperation (SEDC); dan Vizione Energy Sdn Bhd bagi kerjasama dalam pembangunan ekonomi hidrogen di Malaysia. - Bernama